Surat Pekeliling MyGDI

Kerajaan telah menerbitkan beberapa surat pekeliling dan garis panduan bagi membantu agensi dalam menguruskan data geospatial dengan lebih baik.
 

 Harga Data

Garis Panduan Penentuan Harga dan Penyebaran Data Geospatial disediakan bagi menyelaras tatacara penentuan harga data geospatial di kalangan agensi pembekal data (APD). Penyebaran data geospatial memerlukan setiap data custodian dan APD mempunyai kadar harga bagi produk-produk mereka. Elemen-elemen dalam penentuan harga data geospatial adalah berdasarkan Garis Panduan Sistem Perakaunan Mikro (SPM) merujuk Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam Bilangan 3/1992 di mana kos pengeluaran data meliputi pengutipan, pengumpulan, penawanan dan penukaran data. Penentuan harga data harus diberi pertimbangan yang wajar bagi memenuhi tanggungjawab sosial agensi dengan tidak mengambil kira keuntungan tetapi sekadar mendapatkan pulangan kos sahaja. 
 
 

 Pembangunan dan Pelaksanaan MyGDI

Panduan bagi Pembangunan dan Pelaksanaan Infrastruktur Data Geospatial Negara (MyGDI) disediakan bagi penyelarasan kerja-kerja pengurusan, pembangunan dan pelaksanaan MyGDI - dahulunya dikenali sebagai Infrastruktur Kebangsaan Bagi Sistem Maklumat Tanah (NaLIS) - melalui penubuhan beberapa jawatankuasa. Penggunaan data geospatial yang optimum melalui strategi perkongsian pintar MyGDI akan dapat dilaksanakan dengan kerjasama dan komitmen dari semua pihak yang terlibat iaitu agensi di peringkat Persekutuan, Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan dan pihak Swasta serta jawatankuasa-jawatankuasa yang dibentuk.

 
 

 Custodianship

Garis Panduan Custodianship Bagi Data Geospatial  disediakan sebagai kaedah bagi memastikan akauntabiliti terhadap pengurusan dan penyenggaraan data geospatial di kalangan agensi-agensi Kerajaan yang terlibat supaya kepentingan Kerajaan terpelihara dan maklumat peribadi serta kerahsiaan terjamin dan sentiasa dilindungi. Di bawah custodianship, pengurusan data geospatial adalah menjurus kepada suatu perkongsian bagi membolehkan pengintegrasian data dilakukan untuk manfaat semua dan bukan terhad kepada kepentingan sesuatu agensi sahaja. Dengan demikian ia akan dapat mengelakkan pertindihan usaha dan pembaziran kos. Custodianship juga memastikan agensi pembekal data yang berwibawa dapat dikenal pasti dan konsistensi data terpelihara.
 
 

 Pusat Data Geospatial (GDC)

Panduan bagi Pembangunan dan Pelaksanaan Pusat Data Geospatial (GDC) disediakan sebagai sebahagian dari inisiatif penambahbaikan kepada pelaksanaan program MyGDI. Melalui GDC, penyediaan dan penyelenggaraan data-data geospatial asas akan ditempatkan secara berpusat dalam struktur menyeluruh (seamless) dan mematuhi standard yang ditetapkan. Pusat Data Geospatial yang dibangunkan melibatkan pewujudan pangkalan-pangkalan data di peringkat kebangsaan (NGDC), negeri (SGDC) dan tempatan (LGDC). Ketersediaan data asas ini adalah elemen penting yang boleh digunakan sebagai asas kepada pembangunan data geospatial lain.
 

 Perkongsian dan Penyebaran

Garis Panduan Perkongsian dan Penyebaran Maklumat Geospatial Melalui MyGDI disediakan bagi menjelaskan keperluan dan penetapan kaedah/prosedur perkongsian dan penyebaran maklumat geospatial melalui MyGDI. Perkongsian yang dimaksudkan sekurang-kurangnya hanya melibatkan penyediaan metadata bagi maklumat geospatial yang dibekalkan oleh agensi. Penentuan pelaksanaan perkongsian maklumat geospatial melalui MyGDI sama ada pengkelasan terperingkat atau terbuka dan penetapan berbayar atau percuma, terma dan syarat, polisi perkongsian, pelesenan, royalti dan perjanjian adalah ditetapkan oleh APD mengikut akta/peraturan yang berkaitan. Dalam melaksanakan penyebaran maklumat geospatial, agensi adalah tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi 1972, Pekeliling Arahan Keselamatan Terhadap Dokumen Geospatial Terperingkat dan peraturan-peraturan lain yang berkaitan.
 
 

 Standard Maklumat Geospatial  

Panduan Pemakaian Standard Maklumat Geospatial menerangkan secara umum mengenai pemakaian standard dalam pembangunan data bagi memudahkan perkongsian dan penyebaran maklumat geospatial. Standard yang terlibat adalah Kod Atribut dan Butiran (MS1759), Kod dan Nama Sempadan Pentadbiran Tanah (UPI), Metadata, Nama Geografi (GeoName) dan Penilaian Kualiti Data Geospatial.