Carian Kod dan Nama Sempadan Pentadbiran Tanah (UPI)

Unique Parcel Identifier (UPI) merupakan satu kaedah pengecaman yang unik bagi mengenalpasti lokasi lot (petak) tanah yang mengandungi satu siri nombor untuk negeri, daerah, mukim, seksyen dan nombor lot. 

 

 

Langkah awal penyelarasan UPI bermula pada tahun 1997, di mana Sekretariat National Land Information System (NaLIS) telah mengemukakan draf penyeragaman kod UPI berasaskan pembekal-pembekal utama data geospatial iaitu Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Selanjutnya pada tahun 1998 buku NaLISCO telah diedarkan kepada semua Agensi Pembekal Data (APD).

 

Kegunaan UPI adalah untuk membolehkan mana-mana lot tanah yang dibangunkan oleh JUPEM dapat diakses dan dikongsi bersama. Ianya bertujuan membantu dalam mendapat kembali dan membuat pertukaran terhadap data-data kadaster sama ada dalam bentuk spatial dan non-spatial. Ada tiga (3) kategori yang diperkenalkan dalam carian data kadaster menerusi UPI iaitu:

 

1.   Hak Milik Kekal (FT) untuk tanah -tanah yang diukur halus.

2.   Hak Milik Sementara (QT) untuk tanah-tanah yang belum diukur halus.

3.   Hak Milik Strata untuk bangunan bertingkat.

 

Penyelarasan Kod dan Nama Sempadan Pentadbiran Tanah(UPI) adalah untuk memastikan setiap bidang tanah hak milik sementara (Qualified Title - QT),  tanah milik yang telah diukur halus (Final Title - FT)  dan petak strata mempunyai nombor pengenalan yang unik. Ia bertujuan memudahkan pertukaran data geospatial berkaitan tanah antara agensi serta pengguna geospatial.

 

Rasional penyelarasan kod UPI antaranya adalah: 

 

 Maklumat spatial dan tekstual mengenai petak tanah yang diperolehi daripada pelbagai sumber antaranya Pangkalan Data Ukur Kadaster (PDUK) di JUPEM dan Sistem Pendaftaran Tanah Berkomputer (SPTB) di PTG adalah tidak seragam. Ini mengakibatkan maklumat petak tanah yang diperolehi oleh pengguna secara dalam talian ( online ) sukar diakses dan dianalisis kerana data-data berkenaan menggunakan kod dan nama sempadan pentadbiran tanah yang berbeza.

 

 Memudahkan perkongsian maklumat geospatial dalam pelbagai urusan transaksi petak tanah antaranya permohonan tukar syarat, pecah sempadan, pemberimilikan, pembelian hartanah dan lain-lain. 

 

 Membantu pihak agensi pusat seperti Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) untuk mewujudkan keadaan fast track bagi membuat keputusan berkaitan urusan transaksi tanah yang melibatkan pelbagai agensi. 

 

 Penyeragaman kod UPI adalah selaras dengan pelaksanaan projek e-Tanah. Ia yang merupakan satu sistem transaksi bagi memudahkan urusan carian hakmilik dan mempercepatkan pembayaran cukai secara dalam talian. 

 

 Menyelaras ejaan nama bagi negeri, daerah/jajahan dan mukim/bandar/pekan dan seksyen/presint. Pengesahan ejaan nama merupakan tanggungjawab pihak Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK). Penggunaan ejaan nama yang seragam amat penting dalam memberikan nama kepada sesuatu tempat supaya tidak menimbulkan kekeliruan kepada pengguna. 

 

Penyelarasan kod dan nama sempadan pentadbiran tanah bagi semua negeri adalah meliputi struktur kod bagi setiap negeri di Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan. Penyelarasan ini akan dapat memberi faedah bagi membantu menyelesaikan masalah yang timbul dalam perkongsian maklumat geospatial antara agensi. 

 

Secara keseluruhannya pelaksanaan penggunaan kod UPI ini akan memberikan faedah-faedah seperti berikut:

 

 Memudahkan pelaksanaan dan pengintegrasian sistem-sistem aplikasi di dalam dan antara agensi;

 Memudahkan perkongsian maklumat geospatial; 

 Membantu agensi-agensi dalam pembangunan sistem aplikasi dan; 

 Menyediakan panduan untuk melaksanakan dokumentasi yang seragam di semua agensi.

 

Secara umumnya kod UPI ini akan membantu Agensi Pembekal Data mempunyai satu standard yang dapat memudahkan sistem integrasi dan operasi antara agensi.

 

Anda boleh menggunakan aplikasi UPI untuk mendapatkan maklumat Kod dan Nama Sempadan Pentadbiran Tanah beserta paparan maklumat spatial bermula dari Negeri, Daerah, Mukim/ Bandar/Pekan dan Seksyen bagi semua negeri di seluruh Malaysia.Selain itu, anda juga boleh merujuk kepada Dokumen Kod dan Nama Sempadan Pentadbiran Tanah yang telah diterbitkan oleh MaCGDI pada tahun 2011.

 

   

Brosur UPI (klik untuk pembesaran)

 


Anda boleh mengetahui lebih lanjut mengenai:

 Standardisasi Kod dan Nama Sempadan Pentadbiran Tanah – Unique Parcel Identifier (UPI)

 Pelaksanaan Pemakaian Malaysian Standard for Geographic Information/Geomatics – Feature and Atribute Codes (MS1759:2004)

 Malaysian Metadata Standard (MMS)

 Standardisasi Nama Geografi dalam Pangkalan Nama Geografi & Gazetir Kebangsaan (PDNG)

 Pembangunan Standard