Pembangunan Standard
FOKUS AKTIVITI PEMBANGUNAN STANDARD TAHUN 2012
1. Pada masa kini, banyak pihak menggunakan maklumat geospatial dalam memudahkan kehidupan harian, urusan pemantauan dan membuat keputusan. Penggunaan maklumat geospatial yang semakin meluas menyebabkan standard berkaitannya diperlukan untuk penyeragaman maklumat tersebut. Dengan adanya standard, ia akan meningkatkan kebolehpercayaan dan keberkesanan sesuatu produk dan perkhidmatan berkaitan maklumat geospatial. Untuk memastikan maklumat geospatial boleh dikongsi, standardisasi dalam pelbagai aspek perlu dipenuhi bagi menyokong perkongsian maklumat geospatial antara pembekal dan pengguna.
2. Terdapat 4 aktiviti utama yang menjadi fokus dalam pembangunan standard MyGDI pada tahun ini, iaitu :
(a) Penyelarasan Kod Butiran dan Atribut (MS1759)
(b) Pembangunan Pangkalan Data Nama Geografi dan Gazetir Kebangsaan (PDNG)
(c) Penyediaan MyGDI Metadata Standard (MMS)
(d) Penyelarasan Kod dan Nama Sempadan Pentadbiran Tanah (UPI)
Penyelarasan Kod Butiran dan Atribut (MS1759)
3. Kod Butiran dan Atribut yang digunapakai oleh data custodian perlu diselaraskan bagi melancarkan proses pertukaran dan perkongsian maklumat geospatial. Butiran dan atribut yang sama perlu menggunakan kod yang sama. Dengan cara ini, data boleh dikenal pasti dan dihubungkan antara satu sama lain. Dokumen standard berkaitan iaitu MS1759 sedang dikemaskini yang melibatkan penambahan dan pindaan kepada kod butiran dan atribut.
4. Pada tahun 2012 ini, fokus projek hanya melibatkan 9 kategori data seperti berikut:
(a) Geology
(b) Demarcation
(c) Hydrography
(d) Transportation
(e) Vegetation
(f) Build Environment
(g) Soil
(h) General
(i) Utility
5. Data custodian yang terlibat adalah agensi seperti berikut:
(a) Jabatan Mineral dan Geosains (JMG)
(b) Jabatan Kerja Raya (JKR)
(c) Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM)
(d) Jabatan Pertanian Malaysia (DOA)
(e) Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM)
(f) Jabatan Perancang Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia (JPBD)
Pembangunan Pangkalan Data Nama Geografi dan Gazetir Kebangsaan (PDNG)
6. Pembangunan Pangkalan Data Nama Geografi dan Gazetir Kebangsaan (PDNG) melibatkan pengemaskinian data nama geografi berdasarkan peta topografi skala 1:25 000 dan 1:50 000. Ia juga termasuk membangunkan aplikasi MyGeoName yang mengandungi modul seperti berikut:
(a) Modul Web Gazetir
(b) Modul Audio
(c) Modul Tulisan Jawi
(d) Modul Penerbitan Gazetir
(e) Modul Laporan Pembetulan
7. Pada tahun 2012 ini, fokus projek adalah menyiapkan pengemaskian nama-nama geografi di dalam PDNG bagi negeri-negeri seperti berikut:
(a) WP Putrajaya
(b) WP Kuala Lumpur
(c) WP Labuan
(d) Terengganu
(e) Perlis
(f) Pulau Pinang
(g) Kedah
(h) Perak
(i) Melaka
(j) Sabah
Penyediaan MyGDI Metadata Standard (MMS)
8. Dokumen Panduan Pengisian MMS telah disiapkan pada tahun 2011. Ia menjadi rujukan kepada agensi dalam menyediakan metadata bagi maklumat geospatial yang akan di kongsi bukan sahaja tertakluk pada data tetapi juga aplikasi GIS, laporan kajian, dokumen berkaitan seperti polisi dan sebagainya, pembangunan maklumat geospatial dan perkhidmatan atau aktiviti geografi.
9. Pada tahun 2012 ini, fokus projek hanya melibatkan taklimat atau roadshow sebanyak 10 kali kepada agensi dalam menyediakan metadata. Agensi akan didedahkan dengan cara-cara pengisian berpandukan dokumen MMS yang terbahagi kepada 3 pilihan pingisian iaitu secara dalam talian (online), MetaFOR (offline) dan juga pengisian manual (borang).
Penyelarasan Kod dan Nama Sempadan Pentadbiran Tanah (UPI)
10. UPI bertujuan untuk menentukan lokasi fizikal lot atau petak tanah di Malaysia dengan memastikan pematuhan kepada struktur kod dan nama sempadan pentadbiran tanah yang telah ditetapkan. Penyelarasan UPI bagi Hakmilik Tetap (FT) telah disiapkan pada tahun 2011. Jawatankuasa Data Dictionary Sektor Awam, MAMPU telah bersetuju supaya kod UPI digunakan oleh semua agensi kerajaan.
11. Pada tahun 2012 ini, fokus projek adalah tertumpu kepada penyelarasan UPI bagi Hakmilik Sementara (QT) dan Hakmilik Strata. Agensi yang terlibat dalam penyelarasan ini adalah Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) dan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG).






