Pengenalan MyGDI

Infrastruktur Data Geospatial Negara (MyGDI) merupakan inisiatif kerajaan untuk membangunkan infrastruktur data geospatial bagi meningkatkan kesedaran mengenai ketersediaan data dan meningkatkan akses kepada maklumat geospatial. Ini boleh dicapai melalui strategi perkongsian data geospatial secara pintar di kalangan agensi pembekal data yang terlibat. MyGDI, sebagai Infrastruktur Data Spatial Kebangsaan (NSDI) untuk Malaysia, ialah infrastruktur data geospatial yang terdiri daripada dasar/polisi, standard, penyelidikan dan pembangunan teknologi serta kepakaran modal insan.


"...establishment of a coordinated National Spatial Data Infrastructure (NSDI) to support public and private sector applications of geospatial data in such areas as transportation, community development, agriculture, emergency response, environmental management and information technology"

President Bill Clinton, 42nd President of The United States of America


Melalui MyGDI, kerjasama di kalangan agensi yang terlibat dapat dibentuk secara berterusan bagi menggalakkan perkongsian maklumat geospatial. Manifestasi kepada kerjasama ini selanjutnya diterjemahkan melalui perkhidmatan maklumat geospatial yang berteraskan pelanggan, kos efektif dan terkini bagi tujuan perkongsian dan penyebaran maklumat geospatial di kalangan pelbagai peringkat kerajaan, sektor swasta dan komuniti akademik. (Surat Pekeliling MyGDI Bilangan 1 Tahun 2006 - Panduan bagi Pembangunan dan Pelaksanaan Infrastruktur Data Geospatial Negara (MyGDI)). 


“Infrastruktur Data Geospatial Negara (MyGDI) membolehkan membuat carian, berkongsi dan menggunakan maklumat dan perkhidmatan geospatial.” 


Matlamat pelaksanaan MyGDI adalah sebagai platform bagi membolehkan komuniti geospatial di Malaysia berkongsi dan mengakses maklumat geospatial dengan mewujudkan perkongsian diantara pihak agensi persekutuan dan negeri, pihak berkuasa tempatan, ahli akademik dan sektor swasta. MyGDI menyediakan akses kepada maklumat geospatial, mengelakkan pertindihan usaha dalam pengumpulan data dan memastikan ketepatan, kekinian, kebolehpercayaan dan ketekalan data sedia ada untuk kegunaan analisis yang komprehensif dalam membantu pembuat keputusan menilai setiap tindakan dan keputusan yang dibuat. Sehingga kini, banyak yang telah dicapai sepanjang pelaksanaan MyGDI, tetapi masih banyak yang perlu dilakukan dalam mencapai matlamat bagi memastikan ketersediaan maklumat geospatial terkini dan tepat bagi seluruh negara." 

 


Anda boleh mengetahui lebih lanjut mengenai :

 Surat Pekeliling MyGDI

 Data dan Perkhidmatan

 Mengenai MaCGDI