Lawatan Akademik Limkokwing University Of Creative Technology

Date: 
Thursday, May 18, 2017

PUTRAJAYA – Pada 18 Mei 2017, MaCGDI telah menerima kunjungan daripada 24 orang pelajar Bachelor of Civil Engineering, Faculty of Architecture and The Built Environment, Limkokwing University of Creative Technology. Para pelajar ini telah diiringi oleh dua (2) orang pensyarah fakulti iaitu Encik Amr Abdulrahman Aziz Salah dan Encik Ir. Shuhaili bin Mohamad.

 

Lawatan ini adalah merupakan lawatan akademik yang pertama diadakan oleh Limkokwing University ke MaCGDI. Para pelajar Limkokwing University khususnya yang mengikuti kursus Bachelor of Civil Engineering baru sahaja diperkenalkan dengan subjek Sistem Maklumat Geografi (GIS) pada tahun ini. Justeru, lawatan akademik ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelajar-pelajar ini untuk menghubungkaitkan bidang kejuruteraan awam dengan bidang GIS. Pihak Limkokwing University juga telah menunjukkan minat mereka apabila mendapati infrastruktur data geospatial negara dapat membantu dalam meningkatkan kualiti pengurusan sesuatu organisasi.

 

Lawatan akademik ini telah dipengerusikan oleh Puan Hajah Norizam binti Che Noh, Pengarah MaCGDI. Beliau turut diiringi oleh pegawai-pegawai MaCGDI yang membentangkan mengenai pengenalan MaCGDI dan Program MyGDI, MyGDI Explorer, 1Malaysia Map, MyGOS serta prosedur permohonan data geospatial MyGDI.

 

Pihak MaCGDI berharap agar pensyarah dan pelajar Limkokwing University yang menyertai lawatan akademik ini dapat menambah pengetahuan dan melihat dengan lebih jelas perkembangan semasa teknologi GIS dan industri geospatial khususnya Program MyGDI yang dibangunkan oleh MaCGDI. Di akhir lawatan, pihak Limkokwing University mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada MaCGDI kerana sudi menerima kunjungan lawatan akademik ini. Lawatan akademik ini telah diakhiri dengan sesi penyampaian cenderahati dan sesi bergambar.

 

Click here to view Photo Gallery

Category: 
Year: