Lawatan Peserta Kursus UP07/19 (Aplikasi GIS di Jabatan/Agensi) Institut Tanah dan Ukur Negara (INSTUN)

Date: 
Tuesday, April 23, 2019

Pada 17 April 2019, MaCGDI telah menyantuni kunjungan lawatan peserta Kursus UP07/19 bertajuk Aplikasi GIS Di Jabatan/Agensi yang dianjurkan oleh Institut Tanah dan Ukur Negara (INSTUN). Peserta kursus ini terdiri daripada 30 orang pegawai yang bertugas di pelbagai Jabatan/Agensi Kerajaan seperti Kementerian di peringkat Persekutuan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan.

 

Lawatan ini merupakan salah satu agenda yang dimuatkan di dalam kursus yang berlangsung selama tiga (3) hari bermula 16 April sehingga 18 April 2019. Ia bertujuan untuk memberi pendedahan kepada peserta-peserta kursus mengenai aplikasi Sistem Maklumat Geografi (GIS) yang telah dibangunkan oleh MaCGDI, melihat contoh-contoh kejayaan aplikasi kolaboratif MaCGDI bersama pihak Jabatan/Agensi lain, mempelajari cara-cara pengemaskinian peta secara dalam talian dan sebagai pendedahan berkaitan prosedur permohonan data geospatial serta pembangunan aplikasi GIS di MaCGDI.

 

Pasukan MaCGDI telah diketuai oleh Sr Haji Ahmad Akhir bin Tompang, Timbalan Pengarah Cawangan Pembangunan Polisi, Standard dan Outreach mewakili Pengarah MaCGDI manakala delegasi lawatan ini telah diketuai oleh Sr Edrin bin Mohd Eusoff merangkap Ketua Program Ukur di INSTUN.

 

Pada lawatan ini, MaCGDI turut berpeluang untuk memperkenalkan MaCGDI sebagai agensi penyelaras perkongsian maklumat geospatial di Malaysia dengan mendukung program bertaraf kebangsaan iaitu Program MyGDI.

  

Secara keseluruhannya, MaCGDI ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada delegasi lawatan ini terutamanya kepada pihak penganjur kursus iaitu INSTUN kerana telah sudi menjadikan MaCGDI sebagai salah satu destinasi ilmu. Diharap agar para peserta kursus ini memperoleh satu pendedahan baru dan sekurang-sekurangnya mempelajari ilmu-ilmu tambahan berkaitan bidang geospatial.

 

Klik di sini untuk galeri gambar.

Category: 
Year: