MaCGDI Menerima Kunjungan Lawatan Kerja dari Taiwan Geographic Information Society (TGIS)

Date: 
Thursday, July 13, 2017

Pada 13 Julai 2017, MaCGDI telah menerima lawatan kerja antarabangsa daripada 15 orang delegasi Taiwan Geographic Information Society (TGIS). Lawatan kerja ini telah diketuai oleh Prof. Dr. Feng-Tyan Lin dan turut diiringi oleh dua (2) orang pegawai Syarikat KQ GEO Technologies dari Malaysia.

 

TGIS merupakan salah satu persatuan bukan kerajaan (NGO) dari negara Taiwan yang dianggotai oleh individu-individu profesional dan ahli-ahli akademik bertujuan untuk membantu menjalankan aktiviti geospatial serta pembangunan standard Sistem Maklumat Geografi (GIS) di Taiwan. Justeru, lawatan kerja ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada ahli-ahli TGIS mengenai aktiviti geospatial yang sedang diaplikasikan dalam pembangunan negara. Selain itu, kunjungan ini juga bertujuan untuk berkongsi pengalaman negara Taiwan dalam bidang yang sama. Selepas Malaysia, TGIS dijangka akan turut mengadakan lawatan kerja ke Singapura.

 

Lawatan kerja ini telah dipengerusikan oleh Puan Hajah Norizam binti Che Noh, Pengarah MaCGDI. Beliau turut diiringi oleh pegawai-pegawai MaCGDI yang membentangkan mengenai pengenalan MaCGDI dan Program MyGDI, aplikasi 1Malaysia Map dan aplikasi MyGOS. Pihak TGIS turut mengambil kesempatan di lawatan kerja ini bagi membentangkan mengenai latar belakang serta pembangunan menggunakan geospatial yang telah dijalankan di Bandar Kaohsiung, salah sebuah bandar di Taiwan.

 

MaCGDI berharap agar objektif lawatan kerja ini tercapai dan pihak TGIS berpuas hati dengan hospitaliti yang telah disediakan. Prof. Dr. Feng-Tyan Lin yang mewakili pihak TGIS mengucapkan terima kasih kepada MaCGDI kerana sudi menerima kunjungan mereka. Lawatan kerja ini telah diakhiri dengan sesi penyampaian cenderahati dan sesi bergambar.

 

Click here to view Photo Gallery

Category: 
Year: