Pameran Sempena Majlis Pelancaran Program Teenagers Engagement Towards Environment And Nature – Adopt A School

Date: 
Wednesday, March 29, 2017

KUALA LIPIS – Pada 29 Mac 2017, MaCGDI bersama-sama Unit Komunikasi dan Korporat (UKK) NRE telah dijemput untuk mewakili NRE untuk menjayakan pameran NRE sempena Majlis Pelancaran Program Teenagers Engagement Towards Environment and Nature – Adopt A School. Bagi pameran kali ini, UKK NRE telah membawakan bas Unit Pameran Bergerak NRE ke Kolej Vokasional Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah (KVSHAS) untuk tatapan pengunjung. Bas tersebut dimuatkan dengan poster-poster semua jabatan dan agensi di bawah NRE termasuk poster-poster dan bahan-bahan penerbitan program MyGDI.

 

Program ini telah dianjurkan oleh Sultan Ahmad Shah Environment Trust (SASET) bertempat di Dewan Mat Kilau, KVSHAS dan telah disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultanah Pahang Sultanah Hajjah Kalsom. SASET merupakan sebuah badan bukan kerajaan yang giat menerajui usaha-usaha pemuliharaan dan penjagaan khazanah alam semula jadi negeri Pahang Darul Makmur. Sehubungan itu, program yang dianjurkan oleh SASET ini juga adalah bersempena Hari Hutan Antarabangsa 2017.

 

Keberangkatan DYMM Sultanah Pahang ke majlis ini turut diiringi oleh Yang Amat Mulia (YAM) Tengku Arif Temenggung Pahang Tengku Fahd Mua’adzam Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah. Yang Berbahagia Dato’ Sri Azizan bin Ahmad, KSU NRE telah mengetuai pengurusan tertinggi NRE bersama-sama DYMM Sultanah Pahang memeriahkan majlis. Dato’ Sri KSU NRE turut dijemput untuk menyampaikan keynote speech pada majlis pelancaran program ini.

 

Selain bas Unit Pameran Bergerak NRE, slot pameran pada majlis ini turut disertai oleh agensi-agensi lain di bawah NRE, badan beruniform dan badan bukan kerajaan seperti Jabatan Perhutanan, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta iM4U. Aktiviti lain yang turut diadakan ialah Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) SASET bersama KVSHAS sebagai sekolah angkat serta lawatan DYMM Sultanah Pahang ke tapak pameran dan tapak semaian pokok. DYMM Sultanah Pahang dan YAM Tengku Arif Temenggung Pahang telah menanam pokok semasa berkunjung ke tapak semaian sebagai simbolik program tersebut. 

 

Unit Pameran Bergerak yang dibawa oleh NRE telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada pengunjung terutamanya dari warga pendidik dan pelajar dari Daerah Lipis. Di samping itu, MaCGDI juga berpeluang mempromosikan maklumat geospatial ke seluruh negara dan menggalakkan penggunaanya.

 

Click here to view Photo Gallery

Category: 
Year: