Skip to main content

Simposium Maklumat Geospatial Kebangsaan (NGIS ke-5) telah dilaksanakan pada 21 hingga 22 Mei 2012 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. Simposium ini telah dianjurkan oleh Pusat Infrastruktur Data Negara(MaCGDI) dan Jabatan Ukur & Pemetaan Malaysia (JUPEM) serta Unit Pemodenan Tadbiran & Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dengan sokongan International Symposium and Exhibitiuon(ISG). Penganjuran NGIS Ke-5 yang diadakan secara dwi-tahunan ini adalah merupakan kesinambungan daripada kejayaan simposium kali ke-4 yang diadakan pada tahun 2010. Tema penganjuran simposium kali ini adalah " Inovasi Geospatial Memperkasa Transformasi Negara"

 

Simposium ini merupakan platform untuk menzahirkan isu-isu berkaitan maklumat geospatial terkini oleh pelbagai agensi dan jabatan dalam memperkasakan transformasi negara. Ini kerana cabaran global dan domestik yang seiring dengan peningkatan aspirasi rakyat, menuntut keperluan penyampaian perkhidmatan yang inovatif, responsif, cepat dan mudah. Cabaran ini adalah preskripsi utama dalam meningkatkan daya saing negara di peringkat antarabangsa. Negara sedang berhadapan dengan persekitaran yang dinamik oleh kepesatan teknologi, impak krisis dunia serta cabaran globalisasi. Faktor-faktor ini merupakan pembolehubah sejagat yang mempengaruhi prestasi daya saing negara maka keperluan kepada inovasi geospatial amat mendesak. Dengan adanya inovasi di bidang ini, akan dapat merealisasikan misi kerajaan ke arah mengarusperdanakan penggunaan maklumat geospatial dalam pelbagai sektor.