Pelaksanaan Audit Pemantauan Pertama (Surveillance 1) bagi pensijilan ISO/IEC 27001:2022 Information Security Management System (ISMS) telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya sepanjang tempoh dua (2) hari bermula 2 hingga 3 Julai 2026. Mesyuarat Pembukaan Audit telah diadakan pada 2 Julai 2026 (Khamis) jam 9.30 pagi dan dipengerusikan oleh Pengarah PGN, NRES, Ts. Rusliza Hanim binti Maarif.
Sepanjang tempoh pelaksanaan audit, proses penilaian telah dilaksanakan oleh Cik Nur Fatin E’zzati selaku Ketua Juruaudit dengan dibantu oleh Encik Teh Thian Soong sebagai Juruaudit. Penilaian tersebut telah dilaksanakan secara menyeluruh dan sistematik bagi menilai tahap pematuhan organisasi terhadap keperluan Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat (ISMS). Skop penilaian meliputi aspek pelaksanaan kawalan keselamatan maklumat, keberkesanan pengoperasian sistem pengurusan, pematuhan terhadap keperluan standard yang berkenaan, serta pengesahan pelaksanaan amalan terbaik dalam pengurusan keselamatan maklumat.
Secara keseluruhannya, pelaksanaan audit ini telah berjaya disempurnakan pada 3 Julai 2026. Hasil penemuan dan syor penambahbaikan yang dikemukakan menerusi audit ini diharap dapat dimanfaatkan sepenuhnya dalam usaha memperkukuh keberkesanan pelaksanaan Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat (ISMS) di PGN. Di samping itu, pelaksanaan tindakan penambahbaikan secara berterusan diyakini dapat meningkatkan tahap kesiapsiagaan organisasi dalam menghadapi risiko keselamatan siber, memperkukuh perlindungan terhadap Infrastruktur dan Infostruktur Geospatial MyGDI, serta menyokong aspirasi kerajaan ke arah pengukuhan keselamatan ICT sektor awam yang mampan, berdaya tahan, berintegriti tinggi dan selaras dengan amalan terbaik keselamatan maklumat.