Skip to main content
Please wait...

POLITEKNIK Merlimau Melaka (PMM) berjaya mewujudkan platform digital bagi tujuan penyimpanan lukisan terukur bangunan warisan dunia Negeri Melaka dengan kerjasama pihak Pusat Geospatial Negara (PGN).

 

Pengarah PMM, Mohd Hatta Zainal, berkata, projek penyelidikan itu tercetus hasil daripada penerimaan peruntukan Geran TVET Applied Research Grant Scheme (TARGS) bernilai RM100,000 kepada Politeknik Merlimau pada tahun 2018 bagi projek e-Polytage : Heritage Digital Archive using webGIS technology atau lebih dikenali sebagai e-PolyTage.

 

Menurutnya, projek e-Polytage ini adalah fasa pertama pembangunan Arkib Digital Bangunan warisan yang tertumpu kepada Civic Zone iaitu di dalam kawasan Core Zone Unesco World Heritage Site Melaka.

 

"Ia diusahakan oleh ahli penyelidik diketuai Shahrul Hapizah Musa serta ahlinya, Noor Suhaiza Sauti, Noor Azidah Abdullah, Fadhillah Mohd Nasir dan Profesor Dr. Yahaya Ahmad.

 

"Projek berkenaan juga mencetus khidmat rundingan bersama Pusat Geospatial Negara pada 29 Julai 2019 untuk kerjasama bagi menggunakan platform Malaysia Geospatial Services (MyGOS) dan hosting aplikasi serta pangkalan data di PGN bagi membangunkan projek e-PolyTage," katanya di Melaka, hari ini.

 

Sementara itu, Shahrul Hapizah berkata, antara tujuan utama projek adalah membabitkan pengurusan dokumentasi Lukisan Terukur merangkumi 17 bangunan dan monumen bersejarah di Melaka (Civic Zone) dalam bentuk arkib digital menggunakan aplikasi Web GIS.

 

Beliau berkata, bagi menjayakan projek berkenaan pihaknya turut menjalin kerjasama dengan beberapa agensi iaitu Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Jabatan Warisan Negara (JWN), Pusat Geospatial Negara (PGN), Universiti Malaya (UM)& Universiti Tun Hussein Onn (UTHM).

 

Sumber: PMM berjaya wujud platform digital simpan lukisan