Latihan Pembangunan Dashboard menggunakan Google Looker Studio telah dilaksanakan pada 9 hingga 11 Februari 2026 bertempat di Bilik Centre of Excellence (CoE), Aras 8, Menara PETRA, Putrajaya. Sesi latihan ini adalah melibatkan peserta daripada kalangan pegawai dan kakitangan PGN dan dianjurkan oleh Seksyen Portal dan Multimedia, Pusat Geospatial Negara (PGN). Latihan ini telah disampaikan oleh Puan Mazlita binti Mat Hassan, seorang jurulatih bertauliah dengan pengalaman lebih 14 tahun dalam bidang analitik data, pembangunan dashboard, visualisasi maklumat serta data storytelling dan telah melatih pelbagai agensi kerajaan serta organisasi korporat di peringkat nasional dan antarabangsa.
Google Looker Studio merupakan antara platform visualisasi data percuma yang sangat sesuai digunakan oleh pelbagai jabatan/ agensi kerajaan. Ini kerana ianya mudah digunakan, boleh integrasi dengan pelbagai sumber data termasuk Excel dan Google Sheets, membolehkan kolaborasi real-time dan dashboard dapat dikemas kini secara automatik. Latihan ini direka khusus untuk memenuhi keperluan PGN dalam membangunkan dashboard pemantauan laporan yang komprehensif, interaktif dan profesional. Peserta akan mempelajari keseluruhan proses pembangunan dashboard dari peringkat asas termasuk sambungan data, reka bentuk layout, visualisasi interaktif dan best practices untuk sektor awam.
Pendekatan penyampaian latihan yang berstruktur dan sistematik melibatkan kaedah teori dan praktikal merangkumi butiran seperti berikut:
- Pengenalan konsep dan format data;
- Pengenalan Google Looker Studio dan visualisasi data;
- Pembangunan dashboard dan integrasi data;
- Latihan; dan
- Pembentangan projek
Latihan ini turut menekankan elemen data storytelling, iaitu keupayaan menstruktur dan mempersembahkan data secara berperingkat daripada maklumat ringkasan kepada sokongan visual yang bermakna. Pendekatan ini membantu peserta memahami bagaimana data mentah boleh ditukar kepada visual data yang menyokong analisis, pemantauan prestasi dan pembuatan keputusan oleh pihak pengurusan.
Hasil latihan menunjukkan peserta berjaya menghasilkan dashboard interaktif yang tersusun, jelas dan berinformasi bagi memenuhi keperluan kerja di PGN. Keupayaan peserta untuk membangunkan dashboard secara menyeluruh daripada data mentah sehingga kepada paparan visual yang berfungsi membuktikan keberkesanan
modul latihan serta kepakaran penceramah yang dilantik.
Secara keseluruhannya, latihan ini telah berjaya mencapai objektif yang ditetapkan dan memberi impak positif dalam memperkukuhkan keupayaan dalaman PGN ke arah pelaporan yang lebih berstruktur, profesional dan berasaskan data, selari dengan amalan membuat keputusan berpacukan data yang tepat dan cekap.