Skip to main content
Please wait...

Pada 23 Oktober yang lalu, MaCGDI, NRE telah menerima lawatan akademik daripada dua (2) orang Pensyarah dan 43 orang pelajar jurusan Diploma Geomatik, Kolej Sains Geospatial & Teknologi (GSTC). Para pelajar yang hadir terdiri daripada pelajar yang sedang menuntut di semester tiga (3) dan semester enam (6) di Kolej berkenaan.

 

GSTC merupakan salah sebuah kolej swasta yang dinaungi oleh Lembaga Jurukur Tanah Malaysia (LJT). Program akademik yang ditawarkan di kolej ini termasuklah Sijil dan Diploma di dalam bidang Geomatik serta beberapa program lain yang telah diluluskan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

 

Objektif lawatan akademik ini adalah bertujuan untuk mendedahkan para pelajar mengenai sejauh mana sumber data geospatial dapat dimanfaatkan dalam bidang geomatik. Ini sekaligus dapat menambahkan lagi pengetahuan dan kefahaman asas para pelajar dalam Sistem Maklumat Geografi (GIS) secara praktikal dan juga penggunaan data geospatial di kalangan agensi Kerajaan serta orang awam.

 

Lawatan akademik ini telah dipengerusikan oleh Sr. Haji Ahmad Akhir bin Tompang, Timbalan Pengarah Cawangan Polisi dan Pembangunan Standard (CPPS), MaCGDI. Diantara pengisian lawatan akademik ini meliputi sesi pembentangan yang komprehensif oleh para pegawai MaCGDI berkenaan pengenalan MaCGDI dan program MyGDI, demonstrasi aplikasi MyGDI Explorer, 1Malaysia Map, MyGOS, MyGeoName serta prosedur permohonan data di MaCGDI.

 

Sehubungan dengan itu, pihak MaCGDI berharap melalui perbentangan ini, para pelajar GSTC dapat mempelajari ilmu baru mengenai maklumat geospatial yang kian digunakan secara meluas dalam pengurusan sumber di pelbagai bidang. Lawatan ini telah diakhiri dengan sesi penyampaian cenderahati dan sesi bergambar.