Skip to main content
Please wait...

PUTRAJAYA – 16 November 2016, MaCGDI telah menerima lawatan akademik daripada Pelajar Teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam Akuakultur (AKU4701), UPM yang disertai seramai 18 orang pelajar dan seorang pensyarah pengiring.

 

Pihak delegasi disambut mesra oleh Sr Mohamed Sofian bin Abu Talib, Timbalan Pengarah Cawangan Geodata dan turut disambut oleh pegawai-pegawai MaCGDI yang hadir. Tujuan lawatan akademik ini diadakan untuk meningkatkan kefahaman tentang pengetahuan Information and Communications Technology (ICT) berkaitan akuakultur. Selain itu, lawatan ini juga bertujuan untuk mengembangkan dan mengaplikasikan pengetahuan yang diterima dalam bidang akuakultur pada masa hadapan serta mengetahui perkembangan aktiviti-aktiviti geospatial di Malaysia.

 

Antara pengisian aktiviti sepanjang lawatan ini adalah tayangan video korporat NRE, taklimat berkaitan MaCGDI dan MyGDI, pembentangan aplikasi MyGDI Explorer, 1Malaysia Map, MyGOS, MyGeoname dan taklimat berkaitan ketersediaan data dan prosedur permohonan data. Sesi taklimat ini telah disampaikan oleh pegawai-pegawai MaCGDI. Lawatan ini diteruskan dengan sesi soal jawab antara pihak delegasi dan MaCGDI. Antara isu-isu yang dibincangkan termasuk perkembangan geospatial di Malaysia dan peranan MaCGDI dalam mengembangkan program MyGDI ke semua peringkat termasuk di kalangan siswazah dan pihak akademik.

 

Selain itu, wakil delegasi juga turut berkongsi idea dan bertukar pendapat dalam memperluaskan lagi teknologi geospatial dalam bidang akuakultur. Semoga lawatan sebegini dapat memberikan pendedahan dan pengetahuan kepada para pelajar dalam mengikuti perkembangan aktivit-aktiviti geospatial pada masa kini dan seterusnya dapat digunapakai dalam aktiviti harian mereka terutama dalam bidang akuakultur.