Skip to main content
Please wait...

Pada 24 Oktober yang lalu, MaCGDI, NRE telah menerima lawatan daripada pasukan projek Iskandar Regional Development Authority (IRDA) dan United Nations Development Programme (UNDP) yang terdiri daripada empat (4) orang pegawai. Lawatan ini bertujuan untuk mendapatkan maklumat lebih terperinci mengenai Program MyGDI yang dibangunkan oleh MaCGDI dan juga untuk mendapatkan maklum balas mengenai projek Iskandar Malaysia Urban Observatory (IMUO) yang sedang dibangunkan.

 

Projek IMUO oleh IRDA merupakan salah satu ‘Big Moves’ yang dinyatakan dalam Rancangan Pembangunan Komprehensif (CDPii) 2014-2025 di bawah ‘Big Move 5: Iskandar Malaysia Urban Observatory’ yang akan berfungsi sebagai pusat penyimpanan data secara berpusat, pusat ilmu pengetahuan, pusat pemantauan dan penilaian serta menyediakan pelbagai perkhidmatan teknikal kepada rakyat di Wilayah Iskandar Malaysia. IMUO kini sedang dilaksanakan secara berfasa dan melibatkan pelbagai pihak berkepentingan sebagai pemegang taruh sehingga tahun 2025. Justeru, MaCGDI sebagai penyelaras perkongsian data geospatial negara dan pelaksana Program MyGDI turut menjadi pilihan sebagai salah satu pemegang taruh oleh pihak IRDA. Pihak UNDP pula telah terlibat secara langsung bagi membantu IRDA dalam merangka kertas perancangan pembangunan IMUO.  

 

Lawatan dan sesi stakeholder engagement ini telah dipengerusikan oleh Puan Hajah Norizam binti Che Noh, Pengarah MaCGDI. Beliau turut diiringi oleh para pengurusan tertinggi MaCGDI.

 

Pada sesi lawatan dan stakeholder engagement ini, pihak IRDA dan UNDP telah membentangkan pengenalan dan status projek IMUO serta mengadakan sesi soal jawab berkaitan MaCGDI dan Program MyGDI bagi mengumpulkan maklumat yang boleh diselaraskan bersama projek tersebut.     

 

MaCGDI sangat berterima kasih kepada pihak IRDA dengan inisiatif yang sedang dijalankan dan berharap agar kerjasama dua hala bersama pihak IRDA serta projek IMUO berjaya direalisasikan. Lawatan ini telah diakhiri dengan sesi penyampaian cenderahati dan sesi bergambar.