Skip to main content
Please wait...

Pada 6 Disember 2018, MaCGDI telah dikunjungi oleh lawatan delegasi antarabangsa Korean Standards Association (KSA). KSA yang bernaung di bawah Ministry of Trade, Industry and Energy, Republik Korea menganjurkan lawatan ke MaCGDI bertujuan untuk melihat ciri-ciri Geographic Information Management System, mempelajari kaedah perkongsian maklumat geospatial bersama pihak pemegang taruh serta strategi yang diterima pakai untuk meningkatkan keberkesanan penggunaan Sistem Maklumat Geografi (GIS) di Malaysia.

Turut bersama dalam lawatan ini ialah para pegawai dari Korea Land & Geospatial Informatix Corporation (LX) yang bernaung di bawah Ministry of Land, Transport and Maritime Affairs Republik Korea dan menjalankan kerja-kerja ukur kadaster di negara tersebut. Delegasi lawatan antarabangsa ini adalah seramai 16 orang dan telah diketuai oleh Mr. Yoon Hanpil merangkap Ketua Jabatan. Selain Malaysia, delegasi ini turut mengunjungi negara Singapura dalam rangka lawatan antarabangsa mereka.  

Pada lawatan ini, MaCGDI turut berpeluang membentangkan taklimat ringkas berkenaan MaCGDI dan Program MyGDI serta taklimat aplikasi yang telah berjaya dibangunkan. Pihak delegasi KSA telah memberikan maklum balas yang positif terhadap taklimat yang disampaikan dan berharap sesi perkongsian maklumat ini dapat dimanfaatkan oleh semua peserta lawatan.

Puan Abrizah binti Abdul Aziz selaku Pengarah MaCGDI, mengucapkan terima kasih kepada pihak KSA kerana sudi berkunjung ke MaCGDI. Beliau turut berharap agar lawatan ini dapat merapatkan hubungan antarabangsa dan seterusnya dapat memberi pendedahan terhadap teknologi dan perkongsian maklumat geospatial di peringkat global.

 

Klik di sini untuk galeri gambar