16 Jun 2025 | Isnin | Bilik Mesyuarat Permata, Aras 7, Menara PETRA
Mesyuarat ini dihadiri oleh wakil dari PGN dan PETRONAS.
Mesyuarat membincangkan potensi kerjasama dalam perkongsian data geospatial PETRONAS dengan PGN. Dalam mesyuarat ini, dibentangkan pengenalan dan peranan PGN sebagai penyelaras MyGDI yang disampaikan oleh Sr Mohammad Zulhimi bin Che Abdullah. Seterusnya, Sr Nurul Satirah binti Abd Rahman membentangkan kaedah dan polisi perkongsian data geospatial.
Mesyuarat juga membincangkan aspek perundangan, keselamatan data-data yang dikongsikan dan apa manfaat yang akan diperolehi oleh pihak PETRONAS sekiranya menjadi agensi pembekal data (APD). Dalam polisi perkongsian data geospatial MyGDI, setiap APD dibenarkan untuk memohon data-data geospatial yang dikongsikan oleh agensi yang lain. Pihak PETRONAS berhasrat untuk menjadi salah satu APD. Walau bagaimanapun, hasrat tersebut akan dimajukan kepada pihak pengurusan dan keputusan adalah bergantung kepada pihak pengurusan tertinggi PETRONAS.
Mesyuarat ditangguhkan pada jam 4.15 petang dan pihak PGN amat mengalu-alukan pihak PETRONAS untuk menjadi APD dan menyokong program MyGD ini.