Skip to main content
Please wait...

Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Atlas Kebangsaan (JTAK) Bil. 1 Tahun 2023 telah diadakan pada 23 Jun 2023 bertempat di Bilik Persidangan Tingkat 15, Wisma JUPEM yang dipengerusikan oleh Sr Hamzah bin Hasan, Pengarah Ukur Bahagian Kartografi dan GIS, JUPEM.

JTAK merupakan salah satu jawatankuasa di bawah Jawatankuasa Pemetaan dan Data Spatial Negara (JPDSN) di mana objektif utama penubuhan adalah untuk memastikan data spatial dan pelbagai maklumat penting dan menarik mengenai Malaysia dapat disampaikan kepada pelajar, pentadbir dan orang awam melalui penerbitan Atlas Kebangsaan.

Mesyuarat JTAK pada kali ini telah dihadiri seramai 24 orang ahli JTAK daripada pelbagai agensi antaranya wakil daripada Jabatan Kerja Raya, Pusat Geospatial Negara (PGN), Jabatan Perhutanan dan Semenanjung Malaysia (JPSM), Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Jabatan Pertanian Malaysia, Jabatan Perangkaan Malaysia, Jabatan Perhutanan Sarawak, Jabatan Pertanian Sarawak, Jabatan Tanah dan Survei Sarawak, Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah Sabah, Dewan Bahasa dan Pustaka, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Teknologi MARA, dan Jabatan Warisan Negara. Turut serta dalam mesyuarat ini adalah wakil daripada Jabatan Perhutanan Sabah dan Jabatan Perancangan dan Bandar Wilayah Sabah yang hadir secara atas talian.

Mesyuarat yang diadakan ini bertujuan untuk membincangkan status ketersediaan data di setiap agensi yang terlibat bagi penerbitan buku Atlas Kebangsaan Edisi Baharu. Selain itu, mesyuarat pada kali ini turut memperlihatkan pelbagai cadangan baharu diutarakan oleh ahli-ahli JTAK bagi penerbitan atlas akan datang demi memastikan penerbitan Atlas Kebangsaan ini sentiasa relevan dan dapat menarik minat pembaca khususnya golongan muda menerusi penggunaan elemen kartografi dan infografik dalam penerbitan peta.