Skip to main content
Please wait...

Pada 14 November 2017 (Selasa) MaCGDI, NRE telah menyertai pameran sempena Esri Malaysia User Conference (EMUC) 2017 anjuran Syarikat Esri Malaysia Sdn. Bhd. yang telah diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Persidangan ini telah dirasmikan oleh YB Datuk Ir. Dr. Haji Hamim bin Samuri, Timbalan Menteri NRE.

 

Persidangan ini bertujuan untuk memberi pendedahan mengenai teknologi terkini perisian yang dibangunkan oleh Esri iaitu ArcGIS kepada penggunanya di Malaysia. Dianggarkan sekitar 500 orang peserta yang terdiri daripada Agensi Kerajaan, swasta serta institusi pengajian tinggi telah hadir ke persidangan ini.

 

YB Timbalan Menteri NRE telah diiringi oleh Sr. Haji Ahmad Akhir bin Tompang, Timbalan Pengarah Cawangan Pembangunan Polisi dan Standard sebagai wakil Pengarah MaCGDI ke persidangan ini. Selain menyampaikan ucapan perasmian, beliau turut menyampaikan anugerah kepada agensi-agensi yang telah berjaya menginovasikan perisian ArcGIS di dalam perkhidmatan mereka.  Sejurus kemudian, beliau turut meluangkan masa melawat ruang pameran serta mengadakan sidang akhbar.

 

Pasukan MaCGDI di pameran ini dengan jayanya telah membentangkan aplikasi MyGOS semasa kunjungan YB Timbalan Menteri NRE. Selaku wakil kepada NRE di persidangan ini, MaCGDI berbangga kerana berpeluang mempromosikan program MyGDI kepada peserta yang hadir di samping menyokong aktiviti-aktiviti geospatial yang dijalankan di Malaysia. Selain MaCGDI, pameran ini juga turut disertai oleh 11 syarikat swasta yang mempamerkan teknologi geospatial masing-masing.