Seksyen Portal dan Multimedia, Cawangan Aplikasi Geospatial telah menganjurkan Latihan Pembangunan Grafik dan Multimedia, Pusat Geospatial Negara (PGN), Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) mulai 18 hingga 21 Mei 2026, bertempat di Universiti Islam Selangor (UIS), Kajang, Selangor. Program latihan ini telah disertai oleh seramai 15 orang pegawai dan kakitangan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) yang meliputi Pusat Geospatial Negara (PGN), Unit Komunikasi Korporat (UKK) dan Bahagian Pengurusan Maklumat (BPM).
Objektif utama pelaksanaan latihan ini adalah untuk memberi pendedahan berkaitan penggunaan perisian multimedia dalam pembangunan bahan grafik, reka bentuk visual serta kandungan digital bagi menyokong penyampaian maklumat di Jabatan. Selain itu, latihan ini turut bertujuan meningkatkan kemahiran pegawai dalam penghasilan reka bentuk kreatif, penyuntingan video, ilustrasi digital, animasi grafik dan bahan multimedia yang berkualiti di samping memastikan setiap peserta dapat mengaplikasikan kemahiran yang dipelajari bagi memperkukuh mutu penyampaian bahan komunikasi korporat, promosi serta penyebaran maklumat Jabatan secara lebih kreatif dan berkesan. Sepanjang pelaksanaan latihan, para peserta telah mengikuti sesi penerangan dan latihan secara hands-on yang memfokuskan kepada pembangunan grafik dan video dengan menggunakan beberapa perisian utama seperti Adobe Lightroom, Adobe Photoshop, Adobe Illustrator dan Adobe After Effects.
Latihan ini telah dikendalikan oleh Encik Nur Muizz bin Mohamed Salleh, pensyarah pakar di dalam bidang virtual realiti, graphic design, 3D animation dan suntingan audio serta merupakan Ketua Unit Pembangunan Sistem dan Aplikasi di Universiti Islam Selangor (UIS). Latihan berstruktur tahap pertengahan ini telah memberi fokus kepada penghasilan teknik penyuntingan imej digital, penghasilan bahan grafik kreatif, pembangunan ilustrasi visual, asas animasi grafik serta penyuntingan kandungan multimedia bagi tujuan penyampaian maklumat dan promosi digital.
Di akhir kursus, semua peserta telah diberikan tugasan projek melibatkan penghasilan bahan grafik dan video untuk dinilai berdasarkan kreativiti, teknik penyampaian visual dan penguasaan kemahiran yang dipelajari sepanjang latihan. Berdasarkan penilaian yang dijalankan, tiga peserta terbaik telah diumumkan sebagai pemenang iaitu Puan Latiffah binti Masuri dari Pusat Geospatial Negara (PGN), Encik Mohd Ridzuan Fuad bin Shaiful Annuar dari UKK serta Encik Quek Ming Jen dari BPM.
Penganjuran latihan ini dilihat sangat bertepatan dalam memperkukuh kemahiran dan pengetahuan pegawai khususnya dalam bidang pembangunan grafik dan multimedia yang kini menjadi medium penting dalam penyampaian maklumat digital. Peningkatan bakat secara berterusan di dalam bidang dunia kreatif dan multimedia dapat meningkatkan keberkesanan penyampaian mutu perkhidmatan awam kepada rakyat dan selanjutnya mengekalkan kecemerlangan organisasi ke tahap yang lebih optimum.