Skip to main content
Please wait...

Pada tanggal 14 Januari 2019, MaCGDI telah menerima lawatan kerja dari Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA Malaysia). NADMA Malaysia merupakan agensi yang bernaung di bawah Jabatan Perdana Menteri bertanggungjawab menyelaras agensi-agensi kerajaan yang terlibat dengan penguatkuasaan bencana. NADMA Malaysia turut berperanan sebagai jentera perancangan dan pelaksanaan bantuan bencana negara supaya ianya dapat diurus dengan lebih cekap, berkesan serta sampai ke segenap lapisan masyarakat khususnya kepada mangsa bencana.

 

Selari dengan peranannya, NADMA Malaysia bersama Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) sedang menjalankan inisiatif untuk menyediakan Peta Risiko Bencana Negara. Penyediaan peta ini yang dijangka dapat membantu meningkatkan kecekapan proses penyampaian maklumat akan dibantu oleh kementerian dan agensi teknikal yang berkaitan.

 

Dalam masa sama, NADMA Malaysia dan MaCGDI telah bersetuju untuk mengadakan perbincangan lanjut mengenai fungsi platform Malaysia Geospatial Online Services (MyGOS) untuk menghasilkan Peta Risiko Bencana Negara.

Sehubungan dengan itu, lawatan kerja ini bertujuan memberi cetusan idea dan seterusnya membincangkan secara lanjut mengenai platform MyGOS dan platform-platform lain yang boleh membantu dalam menyediakan peta tersebut.

  

Delegasi lawatan kerja NADMA Malaysia telah diketuai oleh Datuk Khairul Shahril bin Idrus, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Persediaan Bencana). Turut hadir ialah seramai enam (6) orang Pegawai NADMA Malaysia yang lain.  

 

Pada lawatan ini, MaCGDI turut membentangkan sesi perkongsian mengenai MaCGDI dan Program MyGDI serta taklimat aplikasi yang telah berjaya dibangunkan. Sesi lawatan kerja diteruskan dengan perbincangan lanjut bagi memperincikan keperluan NADMA Malaysia dalam penyediaan peta yang dimaksudkan.

  

Puan Abrizah binti Abdul Aziz selaku Pengarah MaCGDI, mengucapkan terima kasih kepada delegasi lawatan kerja ini dan turut berharap agar kerjasama antara kedua-dua pihak berjaya dicapai sejajar dengan objektif untuk menghasilkan Peta Risiko Bencana Negara.