Skip to main content
Please wait...

Pada 20 Januari 2022, Pusat Geospatial Negara (PGN) telah menerima kunjungan lawatan kerja dari Pusat Logistik dan Pengangkutan Maritim Malaysia (MaLTraC), Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

 

MaLTraC, UMT merupakan sebuah pusat penyimpanan data logistik dan pengangkutan maritim bertaraf kebangsaan. Delegasi MaLTraC, UMT ini diketuai oleh Dr. Mohamad Rosni bin Othman, Dekan, Fakulti Pengajian Maritim, UMT merangkap Pengarah MaLTraC, UMT.

 

Turut hadir bersama dalam lawatan kerja ini ialah delegasi The Chartered Institute of Logistics and Transport (CILT) iaitu Dr. Mohammad Nizam bin Baharom, FCILT, Timbalan Presiden CILT dan Komander Ts. Shahrir bin Haji Ahmad, FCILT, Bendahari CILT.

 

Pertemuan dua hala ini bertujuan untuk membincangkan peluang kolaborasi dalam perkongsian data geospatial serta agenda pendigitalan MaLTraC dan CILT. MaLTraC juga berhasrat untuk mewujudkan pangkalan data raya berkaitan logistik dan pengangkutan maritim yang komprehensif. 

 

Sempena lawatan kerja ini, pasukan PGN telah membentangkan taklimat berkaitan pengenalan kepada PGN, perkongsian maklumat geospatial MyGDI antara Agensi Kerajaan (G2G) serta pembangunan aplikasi GIS secara kolaborasi bersama PGN. PGN mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada delegasi lawatan kerja ini kerana sudi mengunjungi PGN dan banyak pandangan serta idea baru dapat digunakan untuk penambahbaikan aktiviti yang akan dijalankan oleh kedua-dua pihak. Semoga hasrat lawatan kerja ini tercapai dan seterusnya membentuk satu lagi kejayaan kolaborasi antara agensi pada masa akan datang.