Skip to main content
Please wait...

KUALA LUMPUR – 25 - 27 Ogos 2018, MaCGDI telah dijemput untuk menyertai Program ‘Spotlight on Science’ (SOS) anjuran Petrosains Sdn. Bhd. yang telah berlangsung di The Discovery Centre, Aras 4, Suria KLCC, Menara Berkembar Petronas. Tujuan program ini diadakan adalah untuk menyokong dan meneruskan usaha kerajaan bagi menjana generasi masa depan yang cenderung kepada sains dan teknologi, informatif dan dinamik.

 

Program ini diadakan sempena cuti sekolah bagi memberikan pendedahan kepada orang awam terutama generasi muda seperti pelajar sekolah dan kanak-kanak untuk lebih mendalami dan mempelajari bidang sains dan teknologi geospatial dengan lebih dekat, santai dan hands-on. Pihak MaCGDI telah diberi peranan untuk berkongsi berkaitan teknologi geospatial, Geographic Information System (GIS), Global Positioning System (GPS) dan perkara-perkara berkaitan geospatial kepada pelawat yang hadir. Pelbagai aktiviti interaktif yang telah dijalankan oleh pihak MaCGDI sepanjang program ini seperti booth pameran dan permainan geospatial.

 

Antara permainan geospatial yang menarik minat pengunjung ialah Mix, Match & Map: World dimana para pelawat perlu menggunakan pengetahuan am mereka untuk memetakan bendera, landmark, haiwan dan tumbuhan bagi setiap negara di dunia. Bagi permainan Mix, Match & Map: Malaysia mereka perlu memetakan bendera, landmark dan jata bagi setiap negeri di Malaysia. Untuk lebih mencabar dan interaktif, para pelawat yang hadir memilih permainan Snake & Ladder Geospatial dimana setiap pergerakan mereka dari satu kotak ke satu kotak mereka perlu menjawab soalan-soalan berkaitan geospatial.

 

Pihak MaCGDI juga diberi peluang untuk menjayakan slot sesi perkongsian bersama pelawat dan slot sesi perkongsian bersama staf petronas berkaitan teknologi geospatial, infrastruktur, ICT dan aplikasi berkaitan geospatial. Slot sesi perkongsian bersama pelawat telah disampaikan oleh pegawai MaCGDI pada 25 Ogos 2018 (Sabtu) kepada pelawat yang hadir. Sesi perkongsian bersama staf Petrosains pula diadakan pada 27 Ogos 2018 (Isnin) disampaikan oleh Pn. Masitah binti Abd Kadir, Timbalan Pengarah (Cawangan Pembangunan Sistem). Semasa sesi ini, pelbagai informasi berkaitan geospatial telah dikongsikan dan sesi soal jawab juga turut diadakan. Pihak MaCGDI juga berpeluang untuk menerangkan projek-projek geospatial yang telah dijalankan di booth MaCGDI.

 

Penglibatan MaCGDI dalam program ini memberi peluang kepada MaCGDI untuk berinteraksi dengan lebih dekat kepada pengunjung yang hadir. Kami juga berkesempatan untuk menerangkan peranan MaCGDI dalam membantu semua pihak termasuk kerajaan, swasta, orang awam dalam mencorakkan pembangunan landskap negara kepada satu tahap yang lebih maju menerusi teknologi geospatial dalam kehidupan harian mereka.