Pusat Geospatial Negara (PGN) sentiasa komited dalam memastikan kandungan laman MyGeoportal sentiasa berintegriti, terkawal dan selamat. Capaian yang sentiasa tersedia memainkan peranan penting kepada saluran penyampaian perkhidmatan berinformasi secara terus kepada pelanggan PGN menerusi ruang maya. Bagi mencapai hasrat tersebut, Seksyen Portal dan Multimedia, Cawangan Aplikasi Geospatial (CAG) telah melaksanakan Latihan Konfigurasi Keselamatan dan Content Management System (CMS) kepada pasukan teknikal MyGeoportal.
Sesi latihan telah diadakan dengan jayanya pada 12 - 15 Januari 2026 (Isnin - Khamis) bertempat di Pusat Latihan Kecemerlangan MyGDI, Aras 8, PGN. Tenaga pengajar kali ini ialah Encik Azlan bin Marjono yang kini bertugas di Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman, Putrajaya. Sesi latihan komprehensif berkaitan pengurusan CMS Drupal serta konfigurasi aplikasi MyGeoportal telah diberikan kepada semua peserta yang terlibat.
Objektif latihan adalah seperti berikut:
- Pengukuhan Keselamatan Sistem: Memantapkan konfigurasi keselamatan MyGeoportal bagi menjamin perlindungan data dan kestabilan sistem daripada ancaman siber.
- Efisiensi Pengurusan CMS: Meningkatkan kemahiran teknikal dalam mengurus kandungan portal agar lebih sistematik dan mesra pengguna.
- Resolusi Isu dan Penambahbaikan: Menyelesaikan isu teknikal sedia ada sebagai langkah persediaan (baseline) bagi pelaksanaan Pelan Penambahbaikan MyGeoportal 2026.
- Ketersediaan Operasi: Memastikan pasukan teknikal kompeten dalam mengendalikan konfigurasi sistem secara dalaman demi kelestarian operasi jangka panjang.
Kefahaman peserta didapati telah meningkat terutamanya semasa pelaksanaan sesi hands-on MyGeoportal. Justeru, sesi latihan sebegini amatlah penting bagi memastikan tahap konsistensi bakat dan kemahiran pasukan teknikal MyGeoportal berada dalam keadaan baik dan dapat memberikan perkhidmatan selari kehendak pelanggan MyGeoportal.