Skip to main content

Bengkel Promosi Aplikasi Geospatial Pusat Geospatial Negara kepada Agensi di Negeri Kelantan

Buat julung kalinya pada tahun 2025, Pusat Geospatial Negara (PGN), Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dengan kerjasama Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Kelantan telah menganjurkan Bengkel Promosi Aplikasi Geospatial PGN kepada Agensi yang berada di Negeri Kelantan.

Bengkel ini bertujuan mempromosikan PGN selaku peneraju Program Infrastruktur Data Geospatial Negara (MyGDI) yang bertanggungjawab membantu pelbagai Agensi Kerajaan membangunkan infrastruktur dan infostruktur geospatial. Seramai 27 peserta daripada pelbagai Agensi Persekutuan dan Negeri telah memberikan komitmen hadir ke bengkel promosi ini. 

Yang Berusaha, Encik Rosdi bin Ya’acob, Pengarah Bahagian Koridor Infrastruktur dan Sistem Maklumat Geospatial, Pejabat SUK Kelantan telah menyampaikan ucapan aluan permulaan bengkel dan  disusuli dengan ucapan oleh Yang Berusaha, Puan Hafirah binti Jamaludin, Timbalan Pengarah, Cawangan Aplikasi Geospatial, PGN. Selepas itu, pembentangan aplikasi-aplikasi geospatial PGN pula telah disampaikan oleh Yang Berusaha, Dr. Azira binti Ibrahim bersama Yang Berusaha, Puan Rita Rosniza binti Ibrahim selaku Ketua Penolong Pengarah, Cawangan Aplikasi Geospatial, PGN.

Bengkel promosi turut dimeriahkan dengan permainan Kahoot dan Klinik MyGDI bagi memberi peluang kepada peserta meningkatkan kefahaman serta bersemuka dengan pegawai-pegawai PGN untuk mengetahui dengan lebih lanjut berkaitan aplikasi serta perkhidmatan yang ditawarkan oleh PGN.

Pihak PGN ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Pejabat SUK Negeri Kelantan atas kejayaan penganjuran serta semua Agensi yang telah hadir menjayakan bengkel promosi ini.