Seksyen Aplikasi GDI telah menganjurkan Latihan Pengaturcaraan PHP (Tahap Intermediate) di Pusat Latihan Cyberjaya, dihadiri oleh pegawai daripada seksyen GDI, GIS, KTO, R&D dan STD yang berminat untuk meningkatkan kemahiran dalam pembangunan aplikasi web yang dinamik dan selamat. Pemilihan Latihan Pengaturcaraan PHP adalah selaras dengan standard agensi kerajaan kerana sebagai perisian sumber terbuka (open source) ia menjimatkan kos, mengurangkan kebergantungan kepada kontraktor, meningkatkan fleksibiliti pembangunan, serta memudahkan penyelenggaraan dan integrasi dengan sistem sedia ada bagi memastikan penyampaian perkhidmatan awam yang lebih efisien.
Diantara silibus utama kursus ini adalah:
Sintaks PHP, fungsi, struktur folder, serta persekitaran pembangunan untuk memastikan asas pengaturcaraan yang kukuh.
Pendedahan kepada konsep pengaturcaraan moden dan pengurusan kod seperti Object Oriented Programming (OOP), penggunaan Composer, integrasi API & JSON, serta penggunaan template Bootstrap bagi membangunkan antaramuka sistem yang responsif.
Penekanan kepada pelaksanaan teknik seperti prepared statement, input validation & sanitization, secure connection ke pangkalan data, encryption & decryption, serta perlindungan terhadap ancaman CSRF, XSS dan penggunaan token bagi memastikan keselamatan aplikasi.
Pendedahan kepada pembangunan sistem lengkap merangkumi authentication selamat, pengurusan sesi (session management), serta pelaksanaan CRUD dan URL selamat untuk membina aplikasi web yang stabil, selamat dan praktikal untuk kegunaan organisasi.
Latihan Pengaturcaraan PHP ini telah meningkatkan keupayaan pegawai dalam membangunkan aplikasi berasaskan web serta mereka bentuk pangkalan data yang lebih tersusun dan berintegriti. Melalui pendedahan kepada teknik pengaturcaraan, automasi proses dan penggunaan fungsi teknikal terkini dalam PHP, pegawai kini lebih kompeten untuk mengurus data serta sistem organisasi dengan lebih tepat, selamat dan efisien.