Pusat Geospatial Negara (PGN) telah mengadakan lawatan ke Loji Rawatan Air Langat 2 (LRA Langat 2) yang dikendalikan oleh Air Selangor Sdn. Bhd. dengan penyelarasan oleh pihak Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB). Lawatan ini turut disertai oleh wakil pelbagai agensi custodian data Utility seperti Bahagian Pemetaan Utiliti (BPU, JUPEM), Bahagian Geospatial Pertahanan (BGSP, JUPEM), Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. (IWK), Suruhanjaya Tenaga (ST) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
Lawatan dimulakan dengan taklimat oleh PAAB mengenai latar belakang penubuhan organisasi dan penstrukturan semula industri perkhidmatan air selepas migrasi. Peserta turut diberikan penerangan mengenai operasi LRA Langat 2, yang merupakan loji rawatan air kedua terbesar di Malaysia yang melaksanakan sistem hijau pelupusan berkonveyor membolehkan sisa air yang telah dirawat dihantar secara automatik ke tapak pelupusan berdekatan Kolam Imbangan Bukit Enggang. Loji ini menerima bekalan air mentah dari Sungai Semantan melalui terowong sepanjang 44.6km merentasi Banjaran Titiwangsa bagi menjalani proses rawatan seperti prarawatan, pengentalan dan pemendapan, penurasan, pembasmian kuman dan pemfluoridaan. Air terawat yang bersih dan selamat ini akan disimpan di kolam takungan sebelum diagihkan kepada pengguna.
PAAB turut memaklumkan bahawa pembinaan LRA Langat 2 Fasa 2 sedang dilaksanakan dan dijangka siap pada tahun 2030 bagi memenuhi keperluan bekalan air di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya. Lawatan diakhiri dengan sesi tinjauan ke lapangan untuk melihat proses rawatan air secara lebih dekat. Program ini diharapkan dapat meningkatkan pengetahuan serta mengukuhkan kerjasama antara agensi yang terlibat.