Mesyuarat Jawatankuasa Penyelaras MyGDI Kebangsaan (JPMK) Ke-16 Tahun 2026 telah diadakan bertempat di Bilik Mesyuarat Utama, Aras 10, Blok F11, Kompleks F, Putrajaya. Mesyuarat yang diadakan secara tahunan ini telah dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Pengarah 1, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), YBrs. LSr Dr. Hj. Ahmad Sanusi Che Cob selaku Timbalan Pengerusi bagi JPMK dan diurus setiakan oleh Pusat Geospatial Negara (PGN). Kehadiran ahli-ahli JPMK yang terdiri daripada wakil-wakil Kementerian, Jabatan, Agensi dan juga Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri adalah amat menggalakkan serta mencerminkan komitmen dan sokongan jitu terhadap agenda pembangunan geospatial negara. JPMK merupakan platform strategik tertinggi dalam penyelarasan dasar, tadbir urus dan kerjasama berkaitan geospatial antara agensi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.
YBrs. Tuan Pengerusi dalam perutusan pembukaan telah menekankan kepentingan data geospatial yang merupakan aset strategik yang bernilai sekiranya ia dapat dikongsi, disepadukan dan dimanfaatkan bagi menyokong pembuatan keputusan yang lebih tepat, pantas dan berkesan oleh kerajaan. Inisiatif-inisiatif yang dirancang dan dilaksanakan pula perlu disepadukan bagi merapatkan jurang perkongsian data antara agensi, seterusnya memperkukuh perancangan berasaskan bukti (evidence-based planning), meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan serta mengoptimumkan penggunaan sumber kerajaan. YBrs. Tuan Pengerusi turut mengalu-alukan kerjasama berterusan daripada semua agensi Kerajaan Negeri dalam memastikan kualiti dan kekinian data geospatial dapat memenuhi keperluan agenda pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat. Selain itu YBrs. Tuan Pengerusi turut mengumumkan kejayaan Pusat Geospatial Negara (PGN) meraih Anugerah Pinnacle Geoinnovation Malaysia Tahun 2025 menerusi Platform Malaysian Geospatial Online Services (MyGOS) dan juga Anugerah Special Achievement in GIS (SAG) Tahun 2026.
Sebanyak enam pembentangan telah dibuat dalam mesyuarat JPMK kali ini. Empat daripadanya merupakan pembentangan Laporan Kemajuan Pelaksanaan Program MyGDI daripada empat Jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Teknikal Framework MyGDI (JTFM), Jawatankuasa Teknikal Clearinghouse MyGDI (JTCM), Jawatankuasa Teknikal Standard MyGDI (JTSM) dan Jawatankuasa Teknikal Marin MyGDI (JTMM). Selain itu, terdapat juga dua pembentangan tambahan iaitu Taklimat Projek Kajian Pemusatan Perkhidmatan Geospatial Sektor Awam (PGSA) oleh PGN dan pembentangan berkenaan Pembangunan S-100: Universal Hydrographic Data Model oleh Pusat Hidrografi Nasional.