Pada tanggal 25 September 2016 yang lalu, satu Majlis Prapelancaran Hari Alam Sekitar Negara 2016 telah diadakan di Dewan Transformasi, Sek. Men. Keb. Tun Mamat, Tangkak, Johor. Majlis prapelancaran ini telah dianjurkan oleh Jabatan Alam Sekitas (JAS) dan telah disempurnakan oleh YB Datuk Ir Haji Hamim bin Samuri, Timbalan Menteri NRE. Hari Alam Sekitar Negara pada tahun ini akan disambut pada 22 Oktober 2016.
Majlis perasmian turut dihadiri oleh Yang DiPertua Majlis Daerah Tangkak, YBhg. Ketua Pengarah Alam Sekitar Malaysia, YBhg. SUB Kanan NRE, serta Ketua-ketua Pengarah Jabatan yang berkaitan. Puan Hajah Norizam binti Che Noh, selaku Pengarah MaCGDI juga tidak ketinggalan untuk memberi sokongan sepenuhnya kepada majlis prapelancaran ini bersama-sama pasukan pameran MaCGDI.
Sambutan Hari Alam Sekitar pada tahun ini bertemakan “Alam Sekitar Tanggungjawab Bersama” melambangkan tanggungjawab menjaga alam sekitar tidak tertakluk kepada kerajaan sahaja, bahkan kepada masyarakat yang terdiri dari pelbagai lapisan umur dan bangsa.
Pelbagai aktiviti telah diadakan pada majlis prapelancaran ini seperti Majlis Penyerahan Sijil Lantikan Kontraktor E-Waste Kawasan Ledang/Tangkak, Majlis Menandatangani MoU Rakan Strategik Program Kesedaran Alam Sekitar serta aktiviti menanam pokok bersama YB Timbalan Menteri NRE. Pihak MaCGDI telah dijemput sebagai salah satu pempamer di majlis ini.
Semasa lawatan di booth MaCGDI, YB Timbalan Menteri NRE sendiri telah menekankan fungsi dan tugas MaCGDI sebagai salah satu bahagian di bawah NRE yang berperanan sebagai penyelaras maklumat geospatial negara kepada VIP yang mengiringi beliau. Maklumat geospatial kawasan Ledang/Tangkak juga telah disampaikan kepada VIP dan orang ramai melalui aplikasi 1Malaysia Map dan MyGOS yang menunjukkan bahawa MaCGDI membantu dalam menyediakan maklumat geospatial bagi kawasan parlimen yang dipimpin oleh YB Timbalan Menteri.
Penyertaan pameran selama satu (1) hari ini telah memberi peluang kepada pihak MaCGDI dalam mempromosi aktiviti geospatial kepada umum terutamanya warga Tangkak yang hadir, terdiri daripada pemimpin masyarakat, penjawat awam, Penghulu, Ketua Kampung serta guru-guru dan pelajar sekolah.