Pusat Geospatial Negara (PGN), Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) telah dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Pinnacle GeoInnovation Malaysia 2025 anjuran Esri Malaysia. Anugerah ini merupakan satu pengiktirafan kepada agensi kerajaan dan swasta yang telah menunjukkan komitmen tinggi dalam inovasi geospatial serta penggunaan teknologi Sistem Maklumat Geografi (GIS) secara berkesan dalam meningkatkan tahap penyampaian perkhidmatan mereka. PGN telah mempertandingkan projek bertajuk Platform MyGOS: Driving National Integration for Geospatial Innovation Towards Sustainable Development in Malaysia. Platform MyGOS yangmenghimpunkan sebanyak 29 aplikasi kolaborasi bersama-sama agensi di peringkat persekutuan dan negeri telah memberikan impak positif dalam penyampaian perkhidmatan awam, mengurangkan kerenah birokrasi serta memenuhi 17 matlamat Sustainable Development Goals (SDG) di bawah United Nations (UN). Selain itu, peranan PGN terus diperkukuh sebagai peneraju Program Infrastruktur Data Geospatial Negara (MyGDI) dalam menyokong agenda transformasi digital negara melalui pembangunan ekosistem geospatial yang berkualiti dan mudah dicapai menggunakan Platform Malaysia Geospatial Online Services (MyGOS).
Sebanyak 10 agensi kerajaan dan swasta telah dipilih sebagai pemenang GeoInnovation Malaysia 2025. Sempena majlis penyampaian anugerah yang dilangsungkan, Dr. Azira binti Ibrahim, Ketua Penolong Pengarah, Seksyen Aplikasi GIS, PGN selaku ketua pasukan projek juga telah dijemput untuk membentangkan kejayaan projek ini. Pengarah PGN, Ts. Rusliza Hanim binti Maarif yang hadir menerima anugerah ini telah melahirkan rasa sukacita dan berkata, “Pengiktirafan ini adalah hasil usaha berpasukan serta kolaborasi pelbagai agensi di bawah Platform MyGOS yang komited menjayakan pembangunan ekosistem geospatial negara. PGN akan terus memperkukuh inovasi, integrasi data geospatial dan kolaborasi merentas sektor demi menyokong agenda kerajaan terutamanya dalam transformasi digital negara.”
Semoga dengan kejayaan dan usaha murni kolaborasi PGN melalui Platform MyGOS dapat terus melonjakkan perkhidmatan geospatial dalam kalangan agensi kerajaan ke tahap yang lebih cemerlang serta mengharumkan nama NRES ke peringkat tertinggi.
Platform MyGOS Memenangi Anugerah Pinnacle GeoInnovation Malaysia 2025
Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC)