
Hari GIS Sedunia disambut setiap tahun pada hari Rabu, minggu ketiga bulan November, untuk meraikan komuniti yang terlibat dalam bidang GIS. Pada tahun ini, sambutannya jatuh pada 20 November 2024. Acara ini bertujuan menghargai sumbangan teknologi GIS dalam pelbagai sektor dan meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kepentingan geografi.
Sambutan pertama Hari GIS telah diadakan pada 19 November 1999 bersempena dengan Minggu Kesedaran Geografi yang dimulakan oleh penyedia perisian analitik spatial, ESRI. Presiden dan pengasas ESRI, Jack Dangermond, mengiktiraf Ralph Nader sebagai individu yang mengilhamkan tercetusnya Hari GIS. Ralph Nader mahu sambutan ini menjadi satu inisiatif akar umbi yang membolehkan orang ramai mempelajari tentang sistem maklumat geografi serta memahami pelbagai kegunaan GIS. Sejak itu, Hari GIS telah berkembang menjadi program tahunan yang menyediakan peluang kepada masyarakat untuk lebih mengenali dan menghargai teknologi GIS serta aplikasinya.
Hari GIS mula dianjurkan oleh Kementerian melalui Pusat Geospatial Negara, NRES pada tahun 2004 yang diadakan secara dwi tahunan iaitu berselang seli dengan program National Geospatial Information Symposium (NGIS). PGN NRES sebagai penyelaras Program Infrastruktur Data Geospatial Kebangsaan (MyGDI), bertanggungjawab menganjurkan Hari GIS 2024 untuk meningkatkan kesedaran warga NRES tentang peranan PGN dalam mempromosikan perkongsian maklumat geospatial dalam meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam.