26 Mei 2025 | Isnin | 9.30 Pagi | Bilik Pembangunan Aras 7, Pusat Geospatial Negara
Seksyen Khidmat Teknikal dan Operasi, Cawangan Infrastruktur ICT dan Seksyen Aplikasi GDI, Cawangan Aplikasi Geospatial telah menerima lawatan daripada pelajar tahun ketiga dalam jurusan Kejuruteraan Perisian, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat Universiti Malaya. Tujuan lawatan adalah untuk menemubual PGN bagi membantu pelajar yang sedang menjalankan projek akhir tahun bertajuk "Disaster Query System and Interactive Chatbot", yang merupakan sebahagian daripada inisiatif "Development of a Malaysia-Specific Geospatial Small Language Model (SLM) with Chatbot for Localized Insights".
Projek ini bertujuan untuk membangunkan sistem chatbot interaktif berasaskan AI yang dapat memproses pertanyaan berkaitan bencana di Malaysia dengan menggunakan data geospatial tempatan. Semasa sesi temubual, pihak PGN turut membentangkan maklumat berkaitan Polisi Perkongsian dan Pelepasan Data Geospatial serta Tatacara Permohonan Data di bawah Program MyGDI, khusus bagi tujuan Perkongsian dan Pelepasan Data antara Kerajaan dan Institusi Pendidikan (Government-to-Education, G2E).
Para pelajar turut berkesempatan untuk mendemonstrasikan prototaip aplikasi yang sedang dibangunkan bagi mendapatkan pandangan, komen serta cadangan penambahbaikan daripada pihak PGN untuk memantapkan paparan dan fungsi prototaip tersebut. Di akhir sesi temubual, para pelajar merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak PGN atas bantuan, pandangan serta input yang jelas untuk menambah nilai pembangunan sistem mereka.