16-17 Julai 2025 | Rabu-Khamis | Pusat Dagangan Dunia (WTC) , Kuala Lumpur
Persidangan Alamat Nasional anjuran Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi (MCMC) yang dirasmikan oleh YB Datuk Ahmad Fahmi bin Mohamed Fadzil, Menteri Komunikasi telah diadakan pada 16 dan 17 Julai 2025 di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Pusat Geospatial Negara (PGN) selaku penyelaras Program MyGDI turut dijemput untuk menyertai persidangan ini sebagai peserta dan rakan pempamer. Sepanjang dua (2) hari persidangan ini berlangsung, sebanyak 15 sesi pembentangan berkenaan dengan pembangunan Sistem Alamat Nasional (NAS) dan satu sesi forum bertajuk Hala Tuju Pengurusan Alamat di Malaysia telah dilaksanakan. Semasa persidangan ini berlangsung, PGN telah mengambil peluang untuk mempamerkan pelbagai inisiatif dan aplikasi berteraskan teknologi geospatial.Penyertaan PGN sebagai rakan pempamer pada persidangan ini bertujuan untuk memperkenalkan peranan PGN dalam pembangunan dan penyelarasan data geospatial di peringkat kebangsaan. Antara tarikan utama reruai PGN termasuklah:
- Demonstrasi aplikasi GIS
- Penerangan berkaitan peranan dan tanggungjawab PGN sebagai penyelaras Program MyGDI
- Edaran bahan penerbitan dan maklumat kepada pengunjung
Pameran ini telah menerima sambutan yang menggalakkan daripada pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, swasta dan akademik. Melalui penyertaan ini, PGN berjaya meningkatkan kesedaran dan kefahaman umum terhadap kepentingan data geospatial dalam penyampaian perkhidmatan awam dan pembangunan negara.