Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) melalui Jabatan Perancangan Pembangunan telah menganjurkan Bengkel Transfer of Technology (ToT) Platform Malaysia Geospatial Online Services (MyGOS) dengan kerjasama Pusat Geospatial Negara (PGN) pada 10 hingga 12 Februari 2026 di Bilik Seri Nilam, MPK. Bengkel ini dikendalikan oleh tenaga pengajar dari Seksyen Aplikasi GIS, Cawangan Aplikasi Geospatial, PGN iaitu Puan Nur Atikah binti Sulaiman, Puan Siti Nurfatihah binti Abdul Halim dan Puan Latiffah binti Masuri.
Pelaksanaan bengkel ini bertujuan meningkatkan keberkesanan projek kolaborasi melalui latihan penggunaan aplikasi Kemaman GIS (KGIS) agar dapat digunakan dengan cekap dan berkesan, di samping memberi penekanan kepada pemindahan teknologi Platform MyGOS bagi memperkukuh pengetahuan serta kemahiran teknikal warga MPK. Melalui pendekatan ini, keupayaan dalaman organisasi dalam pengurusan sistem dan data geospatial dapat diperkukuh secara menyeluruh.
Turut hadir ke bengkel berkenaan ialah Yang Berusaha Tuan Haji Zuwislan bin Awang, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kemaman serta YM Tuan Sharifah Khairuzita binti Tuan Kechil, Setiausaha Majlis Perbandaran Kemaman sebagai tanda sokongan terhadap inisiatif pemerkasaan teknologi dan pendigitalan di MPK.
Semoga melalui bengkel ini, kerjasama strategik antara MPK dan Pusat Geospatial Negara akan terus diperkukuh demi meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.