Seksyen Tadbir Urus, Geospatial dan Khidmat Pengurusan (SGKP), Pusat Geospatial Negara telah mengadakan Taklimat Pengurusan Keselamatan Perlindungan yang telah dihadiri oleh 76 orang pegawai dan kakitangan Pusat Geospatial Negara di Bilik Mesyuarat Permata, Aras 7, Menara PETRA pada 24 Julai 2026.
Taklimat ini telah disampaikan oleh Encik Mohd Zaidi bin Idrus, penceramah jemputan daripada Bahagian Keselamatan Fizikal dan Penilaian Teknikal, Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO). Menerusi sesi taklimat ini, ia dapat memberikan pendedahan dan meningkatkan kesedaran kepada semua warga PGN mengenai kepentingan keselamatan perlindungan bagi memastikan keselamatan dokumen, aset, maklumat, premis, dan individu sentiasa terpelihara serta mengelakkan kebocoran maklumat dan ancaman keselamatan. Di samping itu, taklimat turut menyasarkan beberapa objektif penting lain seperti berikut:
meningkatkan kefahaman mengenai dasar, peraturan, dan prosedur keselamatan perlindungan;
memberi pendedahan tentang tanggungjawab setiap individu dalam menjaga keselamatan maklumat, dokumen rasmi, aset, dan premis;
meningkatkan kesedaran terhadap ancaman keselamatan seperti kebocoran maklumat, pencerobohan, sabotaj, dan serangan siber;
memastikan semua warga organisasi mematuhi langkah-langkah keselamatan yang telah ditetapkan; dan
memupuk budaya keselamatan dalam kalangan warga organisasi bagi mengurangkan risiko insiden keselamatan.
Selain itu, pegawai dan kakitangan juga diberikan pendedahan dan peringatan mengenai kepentingan mematuhi tatacara pengurusan dokumen terperingkat seperti memastikan semua dokumen terperingkat dikendalikan, disimpan dan dilindungi mengikut prosedur yang ditetapkan dan memberi kefahaman bahawa dokumen terperingkat tidak boleh disalin, dikeluarkan atau disimpan di luar fail atau kabinet keselamatan yang ditetapkan.
Taklimat ini juga menyentuh beberapa topik menarik mengenai pengurusan keselamatan perlindungan seperti berikut:-
Pengenalan dan Dasar Keselamatan
Keselamatan Fizikal
Keselamatan Dokumen
Keselamatan Personel
Keselamatan ICT/ Siber
Pengurusan Insiden
Penganjuran taklimat ini adalah sangat penting dalam memastikan pemahaman warga PGN mengenai Pengurusan Keselamatan Perlindungan sebagaimana yang ditetapkan dalam Arahan Keselamatan Kerajaan dapat diuruskan dengan baik dalam melindungi aset Kerajaan.