Seksyen Portal dan Multimedia, Cawangan Aplikasi Geospatial (CAG), Pusat Geospatial Negara (PGN) telah membangunkan aplikasi dashboard pemantauan yang dikenali sebagai Dashboard Pemantauan Eksekutif Strategik (PEMES). Tujuan pembangunan dashboard ini dihasilkan bagi membentuk keputusan strategik PGN menerusi pelaporan utama yang dibentangkan di dalam Mesyuarat Pengurusan PGN. Dalam menepati hasrat inisiatif digital Kerajaan, pembangunan dashboard ini adalah selari dalam mengaplikasikan teknologi terkini ICT untuk menjana pelaporan bersepadu seterusnya mampu meningkatkan perkhidmatan dan prestasi semasa PGN. Pembangunan dashboard yang memakan masa selama tiga bulan telah berjaya dibangunkan menggunakan kepakaran dalaman PGN. Skop pembangunan projek adalah melibatkan Modul Perjawatan, Modul Latihan/ Kursus, Modul Pelan Operasi Latihan (POL), Modul Perancangan Perolehan Tahunan (PPT) dan Modul Kontrak/ Perolehan yang melibatkan kerjasama strategik bersama Seksyen Tadbir Urus Geospatial dan Khidmat Pengurusan (SGKP).
Proses kemas kini data yang berterusan secara dinamik dan dalam talian membolehkan analisis maklumat yang dijana dilihat terus dengan pantas. Justeru, ianya dapat memberikan satu impak yang lebih berkesan dalam kaedah pengurusan data; juga menghasilkan manfaat kepada pengurusan tertinggi PGN mendapatkan laporan terkini dengan efisien. Oleh itu, ketersediaan data berintegriti tinggi yang dijamin dalam persekitaran selamat adalah faktor penting yang perlu diambil kira. Sehubungan dengan itu, sesi Training of Trainers (ToT) yang telah dilaksanakan kepada pasukan penyedia data dapat melatih peserta untuk menambah pengetahuan dalam persekitaran memproses data dengan baik, kepentingan penggunaan dashboard dalam urusan pelaporan kepada peringkat atasan dan seterusnya memastikan integriti data sentiasa terkawal dengan baik. Sesi ToT yang dijalankan turut mendapat maklum balas yang baik dengan menambah baik beberapa maklumat yang diperlukan bagi tujuan pelaporan dalaman yang lebih strategik. Usahasama ini diharapkan dapat menjadi pemangkin berterusan kepada semua untuk menghasilkan inovasi menggunakan teknologi ICT terkini dalam meningkatkan penyampaian perkhidmatan PGN.