Pusat Geospatial Negara (PGN) telah menganjurkan Sesi Latihan Penggunaan Sistem Pengurusan Serahan Data (SPSD) bagi Modul Serahan MyGeoName dan Unique Parcel Identifier (UPI) pada 4 November 2026 (Rabu), bertempat di Bilik Latihan COE, Aras 8, Menara PETRA. Sesi latihan separuh hari yang berlangsung dari jam 8.30 pagi hingga 1.00 tengah hari ini dikendalikan oleh Puan Ani Khairiah Binti Arudin dan disertai oleh Timbalan Pengarah Cawangan Pembangunan Polisi, Standard dan Outreach (CPPSO) serta warga Seksyen Pembangunan Standard (SPS). Latihan ini bertujuan meningkatkan keupayaan peserta dalam mengendalikan proses serahan data MyGeoName dan UPI melalui SPSD. Skop latihan merangkumi proses serahan data secara dalam talian oleh Agensi Pembekal Data (APD), pengurusan rekod serahan serta penjanaan laporan dan inventori data bagi tujuan pemantauan oleh pihak pengurusan. Menerusi sesi latihan amali secara langsung, peserta diberi pendedahan kepada proses semakan serahan data serta pemantauan status serahan data MyGeoName dan UPI melalui simulasi penggunaan SPSD. Penganjuran latihan ini merupakan langkah persediaan penting bagi memastikan pelaksanaan pengurusan serahan data MyGeoName dan UPI melalui SPSD yang dijadualkan mula beroperasi (go-live) pada awal tahun 2027 dapat dilaksanakan dengan lancar, cekap dan sistematik.