Skip to main content

Simposium Maklumat Geospatial Kebangsaan (NGIS) Ke-10

7-8 Oktober 2025 | Selasa-Rabu | Putrajaya International Convention Centre (PICC)

Simposium Maklumat Geospatial Kebangsaan (NGIS) ke-10 dan Anugerah Geospatial Kebangsaan (NGA) 2025

Putrajaya, 7–8 Oktober 2025 – Simposium Maklumat Geospatial Kebangsaan (NGIS) ke-10 serta Anugerah Geospatial Kebangsaan (NGA) 2025 telah diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Program ini dianjurkan oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Pusat Geospatial Negara (PGN). Bertemakan “Geospatial Pemacu Kelestarian Negara”, NGIS ke-10 menghimpunkan lebih 300 peserta daripada agensi kerajaan, industri, akademia dan penyelidik. Simposium ini berfungsi sebagai platform strategik untuk perkongsian ilmu, pengalaman, amalan terbaik dan inovasi dalam bidang geospatial.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Yang Berhormat Datuk Seri Johari bin Abdul Ghani, Menteri Perladangan dan Komoditi memangku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam. Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa peranan Pusat Geospatial Negara (PGN) akan diperluas dan diperkukuh melalui inisiatif program MyGDI, bagi memastikan data geospatial negara dapat dikordinasi dan dikongsi secara lebih sistematik dan efisien.

“Koordinasi data geospatial melalui PGN perlu diperluas agar pembangunan dan keputusan dasar negara berasaskan maklumat yang tepat. Tanpa satu entiti pengkoordinasi, kerajaan boleh membelanjakan banyak sumber terhadap data berulang. MyGDI menjadi platform utama untuk perkongsian maklumat berasaskan lokasi secara sistematik dan pantas.”— YB Datuk Seri Johari bin Abdul Ghani.

Kemuncak program turut menyaksikan penganugerahan Anugerah Geospatial Kebangsaan (NGA) 2025, yang menghargai projek-projek terpilih (kategori Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, Akademia dan Industri) atas sumbangan serta kecemerlangan dalam pembangunan dan aplikasi teknologi geospatial di Malaysia. Sebagai pengiktirafan khusus dalam aktiviti perkongsian dan kolaborasi maklumat geospatial, sebanyak 20 agensi telah dipilih untuk menerima penghargaan perkongsian data, manakala 5 agensi bagi penghargaan kolaborasi di bawah program MyGDI. Dengan penganjuran ini, NGIS ke-10 dan NGA 2025 berjaya memperkukuh jaringan kolaborasi strategik antara sektor awam, swasta dan academia, sekali gus memperteguh komitmen semua pihak ke arah ekosistem geospatial negara yang pintar, mampan dan berdaya saing.