Skip to main content

Pengujian Simulasi Pemulihan Bencana Pusat Geospatial Negara (PGN) Tahun 2025

18 November 2025 | Selasa | Pusat Data Sektor Awam (PDSA) Bandar Enstek, Negeri Sembilan

Pelan Pemulihan Bencana atau Disaster Recovery Plan (DRP) ialah perancangan strategik yang dirangka bagi memastikan perkhidmatan dapat diteruskan sekiranya berlaku gangguan atau kerosakan pada infrastruktur ICT. Pelan ini menetapkan langkah-langkah pemulihan untuk menghadapi ancaman seperti serangan virus komputer, pencerobohan oleh penggodam, bencana alam serta sebarang kerosakan yang boleh menjejaskan penyampaian perkhidmatan ICT PGN kepada pengguna. Pengujian Pemulihan Bencana merupakan aktiviti tahunan yang dijalankan oleh Pusat Geospatial Negara (PGN) bagi menilai tahap kesiapsiagaan semua pihak yang terlibat dalam memulihkan sistem ICT sekiranya berlaku bencana. Pengujian ini turut bertujuan meningkatkan kemahiran pegawai dan memastikan prosedur pengendalian insiden dilaksanakan dengan teratur. Bagi tahun ini, pengujian telah dilaksanakan di Pusat Pemulihan Bencana pihak JDN di PDSA Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan.

Di samping itu, pengujian ini dilaksanakan bagi mengesahkan bahawa pelan tindakan pemulihan yang digariskan dalam Disaster Recovery Management Plan (DRMP) dan Disaster Recovery Technical Plan (DRTP) adalah terkini, sesuai dan boleh dilaksanakan. Ia penting bagi memastikan proses pemulihan dapat dijalankan dengan berkesan serta mematuhi tempoh Recovery Time Objective (RTO) yang ditetapkan. Pengujian yang dijalankan telah mencapai hasil yang baik apabila pemulihan aplikasi kritikal PGN berjaya diselesaikan dalam tempoh 3 jam 1 minit, lebih awal daripada tempoh maksimum 4 jam seperti yang ditetapkan dalam RTO. Kejayaan ini adalah hasil kerjasama erat antara pihak JDN, Ahli Pasukan Pemulihan Bencana PGN dan kontraktor JDN dalam memastikan pengujian berjalan mengikut tatacara yang ditetapkan dalam DRMP dan DRTP. Setiap pegawai melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan cekap dan berkesan bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan ICT PGN dapat diteruskan sekiranya berlaku bencana sebenar pada masa hadapan.