Skip to main content

Bengkel Focus Group Bagi Pemurnian Kandungan & Pemantapan Garis Panduan MyGeoportal Pusat Geospatial Negara (PGN), Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam

Pusat Geospatial Negara (PGN) telah menganjurkan Bengkel Focus Group Pemurnian Kandungan dan Pemantapan Garis Panduan MyGeoportal, Pusat Geospatial Negara (PGN), Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) pada 21-23 Oktober 2024 bertempat di Espira Kinrara, Puchong, Selangor. Bengkel ini telah dirasmikan oleh Ts. Rusliza Hanim binti Maarif, Pengarah Pusat Geospatial Negara. Ianya melibatkan penyertaan penuh daripada 30 orang pegawai dan kakitangan di PGN yang merupakan ahli jawatankuasa kepada portal rasmi PGN.

MyGeoportal merupakan gerbang maklumat digital Pusat Geospatial Negara (PGN) yang menghubungkan perkhidmatan MyGDI kepada pelbagai jabatan/ agensi melibatkan sektor awam dan sektor swasta. Selain daripada itu, MyGeoportal juga turut menyediakan pelbagai informasi awam yang boleh diselusuri oleh orang awam yang memerlukan maklumat berkaitan geospatial negara. Atas keperluan tersebut, usaha penambahbaikan berterusan dilakukan bagi memastikan kandungan dan perkhidmatan yang disediakan oleh MyGeoportal memenuhi kehendak pemegang taruh dan pelanggan.

Di samping itu, sebanyak dua slot taklimat telah disampaikan oleh Ts. Dr. Mohamed Hairul bin Othman, Setiausaha Bahagian, Bahagian Inkubator Digital, Kementerian Ekonomi dengan tajuk“Emerging Technologies in Malaysia” dan “Standard Reka Bentuk Digital Kerajaan”. Penerangan beliau menyentuh khusus kepada kefahaman yang lebih jelas kepada hala tuju AI negara dalam mendepani cabaran digital semasa serta panduan membangunkan aplikasi perkhidmatan yang sepadu dan seragam berteraskan konsep Whole of Government.

Slot seterusnya diperuntukkan bagi proses pemurnian kandungan dan penambahbaikan antaramuka serta kefungsian MyGeoportal. Para peserta telah dibahagikan kepada lima kumpulan melibatkan cawangan dan seksyen di PGN. Para peserta telah memberikan buah fikiran dan cadangan yang baik sepanjang bengkel ini berlangsung. Oleh itu, sesi bengkel ini didapati telah memberikan banyak manfaat kepada penambahbaikan MyGeoportal dan usaha yang baik ini perlu dilaksanakan lebih kerap bagi mengekalkan prestasi dan imej kecemerlangan MyGeoportal.