Skip to main content

Latihan Transfer of Knowledge (TOK) Aplikasi Dalaman di Pusat Geospatial Negara (PGN)

21 November 2025 | 9.30 pagi | Bilik Mesyuarat Permata, Aras 7, Menara PETRA

Program ini dianjurkan oleh Seksyen Portal dan Multimedia, Cawangan Aplikasi Geospatial dan melibatkan penyertaan warga PGN daripada pelbagai cawangan. Objektif bagi perkongsian yang diadakan ini adalah seperti berikut: 

(1 ) Memperoleh pengetahuan asas kepada aplikasi PGN; dan
(2) Pegawai dan kakitangan baharu lebih cakna ke atas aplikasi yang sedang berkuat kuasa di PGN.

Sesi perkongsian TOK Aplikasi Dalaman di PGN adalah seperti berikut:

Sesi Perkongsian 1 – Aplikasi MyGeoName
Disampaikan oleh Puan Azeleen binti Mohd Razali (Seksyen Pembangunan Standard, Cawangan Pembangunan Polisi, Standard dan Outreach). Perkongsian menjelaskan fungsi MyGeoName sebagai pangkalan data rasmi nama geografi Malaysia merangkumi lokasi, sejarah, ejaan jawi serta audio sebutan yang disahkan melalui Jawatankuasa Kebangsaan Nama Geografi (JKNG).

Sesi Perkongsian 2 – Platform MyGOS (Malaysia Geospatial Online Services)
Disampaikan oleh Encik All Imran bin Mohd Nor (Seksyen Aplikasi GIS, Cawangan Aplikasi Geospatial). Sesi ini menerangkan peranan MyGOS sebagai platform hub geospatial terpusat untuk integrasi data, sistem dan kepakaran merentas agensi kerajaan bagi menyokong transformasi digital dan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).

Sesi Perkongsian 3 Perkongsian – Platform MyGDX (Malaysia Government Central Data Exchange)
Disampaikan oleh Puan Nur Atikah binti Sulaiman (Seksyen Aplikasi GIS, Cawangan Aplikasi Geospatial). Perkongsian memberi tumpuan kepada fungsi MyGDX sebagai platform perkongsian data berpusat bagi perkhidmatan dari hujung ke hujung (end-to-end - E2E) yang memudahkan integrasi, meningkatkan kecekapan serta mengurangkan kos infrastruktur kerajaan.

Sesi Perkongsian 4 – Aplikasi ScanMe
Disampaikan oleh Puan Ani Khairiah binti Arudin (Seksyen Aplikasi GDI, Cawangan Aplikasi Geospatial). Sesi ini menerangkan fungsi ScanMe sebagai aplikasi pengurusan kehadiran digital yang membolehkan urus setia mendaftar aktiviti, menjana kod QR, merekod kehadiran secara automatik serta menjana sijil penyertaan dengan lebih cepat dan teratur, selaras dengan keperluan pengurusan program PGN.

Program turut disertai dengan sesi kuiz interaktif dan maklum balas peserta. Sebanyak lima pemenang bagi pertandingan kuiz interaktif telah berjaya memenangi hadiah yang disediakan dengan menjawab soalan paling tepat dalam masa terpantas iaitu:

1. Puan Nurul Haniza binti Abd Latif;
2. Puan Salina binti Ibrahim;
3. Puan Latiffah binti Masuri;
4. Puan Mas Juliza binti Alias; dan
5. Puan Hafirah binti Jamaludin.

Secara keseluruhan, sesi TOK ini telah berjaya mencapai objektif penganjuran dengan memberikan pendedahan asas yang jelas berkaitan aplikasi dan platform PGN serta meningkatkan kefahaman pegawai terhadap sistem dalaman yang digunakan di PGN.