20 Jun 2025 | Jumaat | Bilik Mesyuarat Lestari, Aras 9, Blok F11, Kompleks F, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES)
Mesyuarat JPMK Kali Ke-15 Tahun 2025 telah diadakan di Bilik Mesyuarat Lestari, Kompleks F, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) telah dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Sumber Asli), Puan Norsham binti Abdul Latip dan diurus setia oleh Pusat Geospatial Negara (PGN). Mesyuarat yang diadakan secara tahunan ini telah dihadiri oleh ahli-ahli JPMK yang terdiri daripada wakil-wakil Kementerian, Jabatan, Agensi dan juga Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri. JPMK merupakan jawatankuasa penyelaras utama bagi empat (4) jawatankuasa lain di bawah Program MyGDI iaitu Jawatankuasa Teknikal Framework MyGDI (JTFM), Jawatankuasa Teknikal Clearinghouse MyGDI (JTCM), Jawatankuasa Teknikal Standard MyGDI (JTSM) dan Jawatankuasa Teknikal Marin MyGDI (JTMM).
Puan Pengerusi telah menekankan peranan penting JPMK dalam menyelaras polisi dan hala tuju pelaksanaan geospatial Negara, memantau status pembangunan dan kualiti data geospatial pada semua peringkat serta memperkukuh tadbir urus serta kolaborasi antara semua pihak berkepentingan. Beliau turut menyeru semua pihak supaya terus menyumbang dan mengemas kini data ke Pusat Data Geospatial (GDC), memperkukuh kolaborasi merentasi sektor dan menyokong pembangunan teknologi baharu seperti kepintaran buatan (AI), remote sensing dan analitik geospatial. Mesyuarat turut melibatkan pembentangan pelaporan status kemajuan daripada wakil JTFM, JTCM, JTSM dan JTMM serta hebahan perkongsian Sistem i-Plan oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia).