Yang Berusaha, Puan Norsham binti Abdul Latif, Timbalan Ketua Setiausaha (Sumber Asli) telah mewakili pihak Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) di acara pelancaran aplikasi Malaysia Drug Profiling System (MyDPS) yang telah dibangunkan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dengan kerjasama Pusat Geospatial Negara (PGN), NRES menggunakan Platform Malaysia Geospatial Online Services (MyGOS).
Pelancaran aplikasi MyDPS adalah bersempena dengan Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi bulan Mei 2025 yang telah disempurnakan oleh Yang Berhormat, Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, Menteri Dalam Negeri.
Kolaborasi AADK bersama PGN, NRES ini yang telah dimulakan sejak tahun 2019 bertujuan untuk memantau serta melaporkan status semasa berkaitan penyalahgunaan dan penagihan dadah di Malaysia. AADK akan terus menambah baik aplikasi MyDPS agar kerja-kerja mengenal pasti serta meramal trend penagihan dan penyalahgunaan dadah berdasarkan demografi dan sosioekonomi dapat dilaksanakan. Selain itu, penambahbaikan ini juga dijangka akan turut dapat menangani isu serta cabaran, memperkasakan proses perkhidmatan, meningkatkan kecekapan serta mengoptimumkan penggunaan sumber.