Sesi Libat Urus (SLU) Agensi Pembekal Data (APD) bagi Projek Penaiktarafan MyGDI Explorer telah dilaksanakan pada 9 dan 10 September 2026. Sesi berlangsung pada pukul 9.30 pagi hingga 5.00 petang di Bilik Latihan Aras 1, Bangunan F11, Kompleks F, Presint 1, Putrajaya. Seramai 31 peserta daripada 17 APD telah menghadiri sesi ini. Program dimulakan dengan Taklimat Pengenalan SLU oleh Sr Hj Ahmad Rostam bin Hamzah selaku Ketua Penolong Pengarah, Seksyen Pembangunan Standard (SPS), Pusat Geospatial Negara (PGN).
Seterusnya, Taklimat Projek Penaiktarafan MyGDI Explorer telah disampaikan oleh LSr Zaahira binti Ismail selaku Penolong Pengarah, SPS, PGN. SLU ini dilaksanakan sebagai program 2-dalam-1 yang menggabungkan aktiviti pengisian metadata ke dalam Aplikasi MyGDI Explorer sedia ada yang baru selesai diselenggara dan sesi mendapatkan Spesifikasi Keperluan Bisnes (Business Requirement Specification, BRS) bagi Projek Penaiktarafan MyGDI Explorer akan datang.
Bagi melancarkan pelaksanaan SLU, urus setia telah menyediakan dokumen kongsi soalan SLU mengikut APD sebelum sesi bermula. Keseluruhan sesi direkodkan melalui Google Meet dan dikongsi bersama peserta di dalam kelas. Aplikasi Slido pula digunakan untuk mengumpulkan pertanyaan dan cadangan APD sepanjang SLU berlangsung. Kaedah ini membolehkan peserta mendengar taklimat, mengisi metadata ke dalam Aplikasi MyGDI Explorer dan mengisi maklum balas SLU dalam dokumen kongsi secara serentak.
SPS turut membuat persediaan awal dengan menyelaras capaian Aplikasi MyGDI dengan pasukan teknikal bagi memastikan aplikasi boleh dicapai sepanjang sesi SLU berlangsung. Draf awal perbandingan MS ISO 19115:2003 dan MS ISO 19115-2:2011 dengan MS 2647:2023 juga diedarkan semasa SLU. Dokumen ini memberikan gambaran awal tentang perubahan standard dan membantu APD menilai tahap kesediaan metadata sedia ada. Persediaan yang menyeluruh ini menjadikan SLU lebih lancar, produktif dan berorientasikan hasil.
Sebagai sebahagian daripada aktiviti SLU, peserta turut menguji capaian Aplikasi MyGDI yang baru selesai diselenggara. Sebanyak 31 metadata berjaya diisi dalam tempoh 2 jam SLU tanpa sebarang isu besar berkaitan kefungsian sistem.
Pada masa yang sama, peserta turut melengkapkan set soalan maklum balas SLU berdasarkan kaedah pelaksanaan semasa (as-is) di agensi masing-masing. Set soalan SLU mengandungi 91 soalan yang merangkumi 3 proses dan 16 segmen. Proses yang terlibat ialah Proses 1: Pengisian dan Validasi Metadata bagi Projek Penaiktarafan MyGDI Explorer; Proses 2: Semakan dan Kelulusan Metadata; serta Proses 3: Pengurusan Rekod Metadata Berpusat MyGDI Explorer.
Sepanjang proses pengisian metadata dan maklum balas SLU, aplikasi Slido telah berjaya mengumpul 30 pertanyaan dan cadangan tidak termasuk input terus dari APD sepanjang SLU berlangsung yang menjadi input tambahan bagi tindakan penambahbaikan Aplikasi MyGDI sedia ada dan penyediaan BRS untuk Projek Penaiktarafan MyGDI Explorer.
Secara keseluruhannya, penyelenggaraan Aplikasi MyGDI telah mencapai objektif yang ditetapkan. APD kini boleh mengisi metadata terus di agensi masing-masing dengan mudah dan lancar tanpa sebarang ralat. Sebelum ini, terdapat kekangan sistem yang menyebabkan pengisian metadata APD hanya boleh dilaksanakan di PGN sahaja .
Manakala bagi Projek Penaiktarafan MyGDI Explorer, maklum balas APD menunjukkan bahawa proses pengisian, validasi, semakan, kelulusan dan pengurusan rekod metadata perlu distrukturkan dengan lebih jelas. Penambahbaikan ini perlu mengambil kira perbezaan pelaksanaan di setiap agensi. Tahap kesediaan metadata sedia ada terhadap pelaksanaan standard MS 2647:2023 juga perlu diberikan perhatian.
Sebagai langkah seterusnya, SLU akan diteruskan bagi Proses 4: Carian dan Eksport Data serta Proses 5: Laporan dan Dashboard Interaktif. Dapatan daripada kedua-dua proses ini akan melengkapkan keperluan pengguna bagi Projek Penaiktarafan MyGDI Explorer.