Skip to main content

Tadbir Urus MyGDI

Tadbir urus MyGDI

 

Bagi menguruskan pembangunan dan pelaksanaan MyGDI, Jawatankuasa Penyelaras MyGDI Kebangsaan (JPMK) telah ditubuhkan yang berperanan sebagai badan pembuat dasar dan keputusan mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan pelaksanaan, pembangunan serta program dan inisiatif MyGDI. Selain daripada jawatankuasa penyelaras, terdapat empat Jawatankuasa Teknikal iaitu Jawatankuasa Teknikal Framework MyGDI (JTFM), Jawatankuasa Teknikal Standard MyGDI (JTSM),Jawatankuasa Teknikal Clearinghouse MyGDI (JTCM) dan Jawatankuasa Teknikal Marin MyGDI. Aktiviti MaCGDI khususnya di dorong oleh ketiga-tiga jawatankuasa teknikal tersebut. Sebagai pelengkap kepada jawatankuasa ini Jawatankuasa Penyelarasan MyGDI Negeri (JPMN) dan Jawatankuasa Teknikal MyGDI Negeri (JTMN) juga turut ditubuhkan.

JPMK bertanggungjawab kepada Kerajaan Malaysia dalam:

a) Menetapkan dasar dan garis panduan bagi pembangunan dan pelaksanaan MyGDI;

b) Menubuhkan jawatankuasa kerja yang diperlukan dari semasa ke semasa;

c) Menyelaras dan memantau pembangunan dan pelaksanaan MyGDI melalui jawatankuasajawatankuasa yang ditubuhkan melalui JPMK; dan

d) Memastikan keperluan sumber kewangan, tenaga manusia serta teknologi disediakan bagi aktiviti MyGDI

JTFM bertanggungjawab kepada JPMK dalam:

a) Menyelaras keberkesanan perkongsian data geospatial melalui program MyGDI;

b) Menyelaras pembangunan dan penggunaan data framework MyGDI;

c) Memantau pelaksanaan polisi dan garis panduan berkaitan framework MyGDI;

d) Mewujudkan kesedaran dan komitmen dikalangan agensi dalam pembangunan data framework;

e) Menyelaras penyeragaman penggunaan dan pemakaian standard dalam maklumat geospatial negara;

f) Menyelaras perkongsian maklumat geospatial melalui infrastruktur dan perkhidmatan digital MyGDI;

g) Menyelaras perkongsian data dan penerbitan metadata geospatial;

h) Menyelaras kerjasama dalam pembangunan dan pelaksanaan program MyGDI melalui jawatankuasa-jawatankuasa sedia ada;

i) Memberi khidmat nasihat dalam pembangunan maklumat geospatial;

j) Menyelaras keperluan sumber kewangan, modal insan serta pembangunan bakat bagi aktiviti program MyGDI; dan

k) Merancang dan membangunkan Research, Development, Innovation and Commercialisation (RDIC) program MyGDI.

JTCM bertanggungjawab kepada JPMK dalam:

a) Menggubal polisi dan garis panduan berkaitan operasi Clearinghouse program MyGDI;

b) Menentukan keperluan sumber bagi pembangunan dan operasi Clearinghouse program MyGDI;

c) Menyelaras dan memantau aktiviti penggunaan serta operasi Clearinghouse program MyGDI.

JTSM bertanggungjawab kepada JPMK dalam:

a) Menyelaras dan memantau penggunaan standard maklumat geospatial; dan

b) Bekerjasama dengan Jabatan Standard Malaysia (JSM) bagi standard maklumat geospatial serta jawatankuasa-jawatankuasa teknikal standard yang lain dalam membangunkan dan mengemaskini Malaysian Standard (MS).

JTMM bertanggungjawab kepada JPMK dalam:

a) Mengkoordinasikan perkongsian data, pemeliharaan, pemuliharaan dan penyimpanan data geospatial marin yang meliputi data selepas 3 batu nautika yang bermula dari tikas air surut hingga ke laut lepas mengikut KTN Seksyen 5 (Takrifan). (rujuk Peta Baru Malaysia 1979);

b) Mengenal pasti jenis data yang boleh dikongsi di antara agensi-agensi kerajaan dan pengguna. Mewujudkan prosedur permohonan bagi data dan maklumat geospatial marin yang diperlukan pengguna;

c) Menyelaras semua pengumpulan, penyimpanan dan penyelenggaraan data spatial di persekitaran marin untuk kegunaan nasional terutama pertahanan negara;

d) Menggalakkan kesedaran terhadap kepentingan pengurusan pembangunan marin terutamanya penerokaan dasar laut;

e) Mengenal pasti skop pembangunan infrastruktur pengurusan data geospatial marin merangkumi teknologi, polisi dan piawaian dan keperluan pengguna marin pada masa kini dan akan datang; dan

f) Memberi khidmat nasihat berkenaan isu-isu dan amalan yang meliputi bidang keselamatan, kewangan dan sosial yang berkaitan dengan perkongsian maklumat geospatial marin.

JPMN bertanggungjawab kepada JPMK dalam:

a) Menerima pakai polisi dan standard geospatial yang ditetapkan;

b) Menyelaras dan memantau perkongsian data geospatial melalui program MyGDI negeri;

c) Menubuhkan dan melantik keahlian Jawatankuasa Teknikal MyGDI Negeri (JTMN) dan memantau pelaksanaan program MyGDI negeri;

d) Menyelaras keperluan sumber kewangan, modal insan dan teknologi disediakan bagi aktiviti program MyGDI negeri; dan

e) Melaporkan aktiviti program MyGDI negeri.

JTMN bertanggungjawab kepada JPMN dalam:

a) Melaksanakan polisi dan standard geospatial yang ditetapkan;

b) Melaksanakan perkongsian data geospatial melalui program MyGDI negeri;

c) Melaksanakan keperluan sumber kewangan, modal insan dan teknologi disediakan bagi aktiviti program MyGDI negeri; 

d) Melaksanakan dan menyelaras aktiviti MyGDI negeri; dan

e) Menubuhkan dan melantik keahlian pasukan kerja yang diperlukan bagi pelaksanaan MyGDI negeri.