Skip to main content
Please wait...

Pada 8 September 2020, Pusat Geospatial Negara (PGN) bersama Bahagian Pengurusan Maklumat (BPM) telah menganjurkan Hari ICT KeTSA 2020. Di era normal baharu, Hari ICT KeTSA pada kali ini bertemakan “Industrial Revolution 4.0: Normalizing the New Normal” bertujuan untuk memanfaatkan teknologi ICT terkini ke arah Revolusi Industri 4.0 dengan penekanan kepada norma baharu masa kini, memberikan pendedahan dan kesedaran kepada warga KeTSA terhadap kepentingan keselamatan siber dan pematuhan Polisi Keselamatan Siber KeTSA serta meningkatkan pemahaman dan kesedaran mengenai teknologi geospatial dan big data analytics Kementerian ini,

 

Sambutan Hari ICT KeTSA 2020 ini turut telah disiarkan secara maya di Facebook Live Hari ICT KeTSA. Kemeriahan Hari ICT KeTSA 2020 telah disambut baik oleh YBrs. Encik Badurunhisam bin Mohd Nor, Setiausaha Bahagian Kanan Khidmat Pengurusan KeTSA merangkap Ketua Pegawai Maklumat (CIO) KeTSA yang hadir merasmikan program ini.

 

YBrs. Encik Badurunhisam bin Mohd Nor turut melapangkan masa mengunjungi booth-booth pameran yang telah disediakan. Di booth PGN, beliau telah berpeluang melihat kejayaan kolaborasi yang telah dilaksanakan bersama agensi lain dalam bidang geospatial. Selaras dengan peranan PGN untuk meluaskan lagi penggunaan geospatial dalam kalangan agensi Kerajaan, PGN sentiasa komited untuk menawarkan perkhidmatan dan konsultansi kepada yang memerlukannya.

 

Hari ICT KeTSA juga telah diserikan dengan pengisian ceramah berkaitan keselamatan siber, big data analytics dan geospatial, permainan Kahoot!, kuiz online serta acara cabutan bertuah. Para peserta yang hadir dalam kalangan warga Kementerian dan Jabatan telah melahirkan rasa sukacita dengan program yang dianjurkan pada kali ini.

 

PGN ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada pihak BPM kerana kejayaan penganjuran bersama program ini serta berharap sambutan Hari ICT KeTSA akan diteruskan lagi di masa hadapan dengan pengisian dan aktiviti yang lebih mantap selari dengan perkembangan teknologi.