Skip to main content

Aktiviti Pengujian Simulasi Pemulihan Bencana bagi Aplikasi Kritikal Pusat Geospatial Negara (PGN)

17 Disember 2024 | 8.30 pagi | Pusat Data Sektor Awam (PDSA) Bandar Enstek, Negeri Sembilan

Pelan Pemulihan Bencana atau Disaster Recovery Plan (DRP) ialah perancangan strategik yang dirangka untuk memastikan kesinambungan perkhidmatan selepas berlakunya gangguan atau kerosakan infrastruktur ICT. Pelan ini merangkumi langkah-langkah pemulihan akibat ancaman seperti serangan virus komputer, pencerobohan oleh penggodam, bencana alam, atau kerosakan lain yang boleh menjejaskan penyampaian perkhidmatan ICT PGN kepada pengguna dan pelanggan.

Pengujian Pemulihan Bencana merupakan aktiviti tahunan yang dilaksanakan oleh Pusat Geospatial Negara (PGN) bagi memastikan kesiapsiagaan semua pihak yang terlibat dalam memulihkan sistem ICT sekiranya berlaku bencana. Aktiviti ini bertujuan untuk memperkukuh kemahiran pegawai dan memastikan kecekapan prosedur dalam pengendalian bencana. Pengujian telah dilaksanakan di Pusat Pemulihan Bencana yang disediakan oleh pihak JDN di PDSA Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan.

Selain itu, pengujian ini bertujuan untuk mengesahkan dan memastikan pelan tindakan pemulihan yang dibangunkan dalam dokumen Disaster Recovery Management Plan (DRMP) dan Disaster Recovery Technical Plan (DRTP) adalah terkini, relevan, dan boleh dilaksanakan. Ini bagi memastikan proses pemulihan dapat dijalankan dengan berkesan dan memenuhi tempoh Recovery Time Objective (RTO) yang telah ditetapkan.

Pengujian telah berjaya dilaksanakan dengan sistem aplikasi kritikal PGN berjaya dipulihkan dalam tempoh 3 jam 42 minit berbanding dengan tempoh 4 jam yang ditetapkan di dalam RTO.

Kejayaan ini adalah hasil kerjasama antara pihak JDN, Ahli Pasukan Pemulihan Bencana PGN dan kontraktor JDN dalam memastikan pengujian ini dilaksanakan mengikut tatacara yang telah digariskan di dalam DRMP dan DRTP. Setiap pegawai telah menjalankan tugas dalam bidang masing-masing dengan cekap dan mahir dalam memastikan kesinambungan perkhidmatan ICT PGN sentiasa berterusan dalam menghadapi bencana sebenar pada masa akan datang.