19-20 Jun 2025 | Khamis&Jumaat | 9.00 Pagi | Bilik Mesyuarat Permata, Aras 7, Menara PETRA dan Bilik Pembangunan, Aras 7
Audit ini dijalankan bertujuan untuk menilai dan mengesahkan pematuhan organisasi terhadap keperluan standard ISO/IEC 27001:2022, yang menggantikan versi terdahulu ISO/IEC 27001:2013. Objektif utama audit ini adalah untuk memastikan bahawa sistem pengurusan keselamatan maklumat (ISMS) organisasi telah disesuaikan dengan sepenuhnya mengikut kehendak dan struktur baharu yang digariskan dalam versi 2022.
Audit ini juga bertujuan untuk memastikan bahawa segala dasar, prosedur, rekod serta kawalan keselamatan maklumat yang dilaksanakan adalah relevan, mencukupi dan berkesan dalam melindungi kerahsiaan, integriti dan ketersediaan maklumat organisasi. Penilaian turut melibatkan semakan terhadap keberkesanan pengurusan risiko, pemantauan insiden keselamatan, serta pematuhan terhadap langkah-langkah kawalan keselamatan yang ditetapkan dalam Annex A versi baharu.
Selain itu, audit ini dilaksanakan bagi mengenal pasti sebarang ketakakuran (non-conformity), kelemahan atau jurang pelaksanaan yang masih wujud dalam sistem semasa, serta mencadangkan penambahbaikan yang sesuai agar peralihan pensijilan dapat dilaksanakan dengan lancar dan tanpa gangguan terhadap operasi organisasi. Ia juga menjadi bukti komitmen organisasi untuk sentiasa mempertingkat tahap keselamatan maklumat selaras dengan amalan terbaik antarabangsa yang sentiasa berubah mengikut perkembangan teknologi dan ancaman siber semasa.